Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Buli Kerana Lambat Turun Subuh, 5 Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Ditahan Polis - "Ada Juga 14 Mangsa Lain"

Gempak
21/05/2023 23:14 MYT
Polis mengesahkan telah menahan lima pelajar sebuah sekolah berasrama penuh di Balik Pulau, Pulau Pinang bagi membantu siasatan kes buli yang berlaku pada Jumaat lalu.

Kejadian berlaku pada jam 11 malam itu membabitkan mangsa pelajar tingkatan tiga di tandas lelaki Blok B bangunan sekolah berkenaan.

Difahamkan, mangsa dikatakan dipukul oleh pelajar tingkatan lima disebabkan alasan lambat turun untuk solat Subuh.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan dan tangkapan tersebut.

Menurutnya, tangkapan dibuat pada hari sama pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa.

"Kesemua pelajar berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis selepas kita merakamkan keterangan mereka dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu merusuh.

"Siasatan polis juga mendapati kelima-lima suspek tersebut telah membuli 14 mangsa lain pada tarikh sama dalam tempoh masa 11 hingga 12.30 tengah malam membabitkan tiga lokasi berbeza iaitu tandas, bilik beg dan bilik senior di blok B.

"Bagaimanapun tiada laporan dibuat oleh mangsa lain setakat ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian