Bintang AF2016, Ara Johari mengakui tiada niat untuk menjatuhkan imej seseorang lelaki dalam single keduanya berjudul Bunga.

Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari berkata, 19, single keduanya itu merupakan peringatan kepada kaum wanita supaya lebih berhati-hati dalam mencari pasangan.

"Bunga merupakan luahan rasa saya dalam lagu dan mesej yang cuba disampaikan merupakan peringatan buat setiap wanita agar lebih berwaspada dalam memilih kekasih.

"Lagu ini juga bukan bertujuan untuk menjatuhkan kaum lelaki dan ia sekadar nasihat agar wanita diluarsana tidak menjadi mangsa kepada golongan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

"Saya berharap dengan lagu ini akan membuatkan para wanita diluarsana agar tidak mementingkan harta benda semata-mata sehingga ditipu oleh lelaki.

"Nasihat yang ada pada single ini ialah supaya jangan terlalu taksub dengan penampilan luaran seseorang yang adakalanya mengaburi pandangan mata kasar tetapi nilailah dari hati kerana cinta yang ikhlas datangnya dari hati," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Ara, dia kini dalam proses mempromosikan single keduanya, Bunga, selepas kejayaan single pertama, Warkah Untukku yang mendapat sambutan luar biasa daripada peminat.

"Saya berharap agar orang ramai dapat menerima single kedua ini dan sentiasa memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya," ujarnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi