Penyanyi berkumpulan popular, Bunkface berhasrat untuk berkolaborasi bersama artis dari Indonesia.

Menurut Sam yang merupakan vokalis kumpulan ini, mereka telahpun berkolaborasi dengan beberapa artis di Malaysia dan kini mahu mencuba nasib bersama artis Indonesia.

"Kami berhasrat untuk berkolaborasi dengan artis Indonesia, kami mahu mencuba nasib dan lihat hasilnya.

"Sebelum ini kami sudahpun bekerjasama dengan beberapa artis tempatan antaranya Amy Search dan Datuk Jefrydin, apa salahnya kami cuba bekerjasama dengan artis luar pula," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, Gitaris Bunkface, Paan menambah, mereka juga bakal tampil dengan sebuah lagu Bahasa Inggeris tidak lama lagi.

"Antara perancangan lain tahun ini adalah untuk melancarkan sebuah lagu baru.

"Ia merupakan sebuah lagu dalam Bahasa Inggeris dan proses pembikinan muzik videonya sedang dijalankan, kemudian kami akan lancarkan beberapa lagu lagi selepas itu," tambahnya.

Sam dan Paan ditemui di Konsert The Culture 2019 bertempat di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Selain konsert tersebut, The Culture 2019 menggabungkan krew B-boy, pelukis graffiti, penggemar barangan antik dan terpakai, pemain papan selaju dan fesyenista gaya jalanan pada satu masa.

Acara ini diadakan bermula semalam, masih berlangsung hari ini dan berakhir pada malam esok, 7 Julai 2019.

Selain Bunkface, antara artis lain yang turut memeriahkan konsert pada tiga malam berturut-turut itu adalah Gerhana Skacinta, Iamneeta, K-Clique, Hullera, LOKO dan ramai lagi.

Pembelian tiket boleh dibuat menerusi www.theculture.my.