Kumpulan Bunkface, sekali lagi dipilih untuk menyanyikan lagu tema animasi terbitan Animonsta Studios iaitu BoBoiBoy musim terbaharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta, Mohd Nizam Abdul Razak, berkata Bunkface mempunyai tenaga tersendiri dalam menyampaikan sesebuah lagu dan dilihat sesuai dengan tema musim terkini animasi tersebut.

"Pengalaman bekerjasama dengan Bunkface sebelum ini membuatkan kami rasa senang untuk berkolaborasi dengan mereka.

"Tambahan pula tempo lagu tema yang dicipta oleh mereka ini kami lihat amat bersesuaian dengan BoBoiBoy musim terbaharu ini.

"Ia bagai memberi semangat kepada kelangsungan siri ini. Jadi,memang tiada sebab untuk kita tidak bekerjasama dengan Bunkface kali ini," katanya dalam sidang media pelancaran siri animasi BoBoiBoy Galaxy yang diadakan di GSC Pavilion, semalam.

Bunkface yang dianggotai oleh Sam, Paan dan Youk itu menampilkan single Dunia Baru sebagai lagu tema terbaharu BoBoiBoy Galaxy.

Terdahulu Bunkface menyanyikan dua lagu tema animasi tersebut yang berjudul Bermula dengan Masih Di Sini.

Sementara itu, Nizam berkata judul baharu BoBoiBoy Galaxy kali ini digunakan adalah bagi penjenamaan semula siri berkenaan.

"Kita menjenamakan semula siri ini dengan menampilkan imej baru yang lebih besar dan menarik.

"Ia dilakukan selepas mendapat maklum balas sebelum ini daripada negara-negara luar yang menganggap imej tersebut terlalu kecil dan tidak sesuai dengan kanak-kanak berusia 10 tahun," katanya lagi

BoBoiBoy Galaxy bakal bersiaran setiap Jumaat bermula 25 November ini, pukul 5 petang di TV3.

Teks oleh: Syafiqah Jalal