Ketua juri Gegar Vaganza 2019 (GV2019) Datuk Ramli MS menjelaskan pemilihan Naqiu Boboy dan Hady Mirza sebagai juara GV2019 adalah keputusannya.

Menurut juri yang lebih mesra disapa Tokram, keputusan dicapai sebulat suara oleh juri bersama Hetty Koes Endang dan juri jemputan Datuk Rizalman Ibrahim.

“Saya tak boleh ambil Hady atau Naqiu jadi juara kerana mereka sama bagus. Saya sebagai ketua juri memutuskan pemenang GV2019 ada dua orang. Saya beri keputusan kepada pihak Astro dan mereka terima.

“Tak kan bila ada dua orang yang bagus, kita nak suruh tambah satu minggu lagi. Markah yang mereka perolehi juga sama,” ulas Tokram kepada Gempak.

Tokram ditemui ketika majlis sidang media konsert akhir GV2019 yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Tambah Tokram lagi, bukan hanya melihat pada persembahan solo, pertempuran lagu rap Haa Tepok Hady dan Naqiu juga mereka sama-sama bagus.

“Hady menyanyi sangat baik dan dari segi intelektual, Naqiu bagus. Saya rasa tiada apa masalah meletakkan dua juara.

“Saya melihat mereka berdua hormat pada bunyi. Setiap bunyi yang mereka keluarkan tidak sumbang dan mereka mengikut kehendak muzik. Bunyi yang mereka keluarkan tidak pernah menipu saya, mereka ikhlas.

“Saya rasa mereka tak peduli pun siapa nombor satu dan siapa naib juara sebab mereka betul-betul seronok membuat persembahan. Ditambah pula dengan silaturahim mereka atas pentas, seperti adik dan abang”, kata Tokram lagi.

Dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.

GV2019 ditaja oleh pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu Farm Fresh Malaysia.

GV2019 turut disokong oleh penaja bersama Powercat, Cuckoo dan Uphamol manakala syarikat telekomunikasi Digi pula menjadi telco rasmi.