Berlakon dalam filem hantu pasti sedikit sebanyak mewujudkan emosi dan suasana yang menyeramkan kepada pelakon yang membintanginya.

Meskipun Hantu Mok Joh bukan sepenuhnya filem seram kerana ada juga menerapkan unsur komedi, pelakon-pelakonnya seperti Amerul Affendi, Mek Yun dan Asrulfaizal akui ada pengalaman menyeramkan ketika menjalani penggambaran.

Berkongsi pengalaman itu ketika membintangi Hantu Mok Joh, ketiga-tiga mereka berkongsi cerita masing-masing.

Amerul Affendi

“Pengalaman seram tu ketika saya bermain tarian Mak Yong. Sebenarnya dulu saya pernah belajar dan menari tarian ini tapi bila main semula lebih-lebih lagi dengar kembali muziknya t uterus rasa meremang bulu roma. Itu sahaja perkara yang saya rasa seram tetapi ia lebih kepada mendebarkan,” katanya dalam temubual IG Live bersama Astro Gempak.

Asrulfaizal

“Ada satu hal menyeramkan masa penggambaran… Ada satu bunyi pada zaman kanak-kanak dulu yang buat saya memang sangat takut, iaitu masa bermalam di rumah arwah nenek di kampung iaitu bunyi burung hantu mengilai. Dalam set berlaku antara 2 hingga3 pagi…waktu babak berjumpa dengan Mek Yun yang bawa watak Stawa Li. Masa tu sunyi tiba-tiba terdengar bunyi burung hantu mengilai. Memang seram sebab masa dulu-dulu orang kata ia tanda orang meninggal dunia tapi sebagai orang Islam kita tak boleh mempercayainya kerana dianggap khurafat,” katanya dalam satu temubual bersama Astro Arena.

Mek Yun

“Masa di set set tiada lah perkara yang seram sangat. Malah bukan hantu yang datang dekat saya tapi pacat yang datang pada saya. Dalam scene tu saya berjalan dalam hutan, masa tu dah habis ‘control macho’ tapi dalam hati oi pacat banyak gila naik atas kaki,” kongsinya ketika sesi IG Live bersama Gegar FM.

Filem yang menjalani sesi penggambaran di Kota Bharu, Kelantan ini turut menampilkan pelakon berbakat besar tanah air seperti Fauziah Nawi (Mok Joh) dan Aloy Paradoks (Heri) sebagai teraju utama.

Selain itu, filem ini turut dibintangi oleh pelakon-pelakon kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang tersebut, seperti Aprena Manrose, Kamarool Hj. Yusoff, Amir Raja Lawak, Hushairi Husain, Asrulfaizal Kamaruzaman, Mek Yun (Wee Yun Nee) wanita Cina tular fasih berbahasa Melayu, Kuna Munzani, Bea Rameshan serta pelakon Kodi Rasheed.

Kisah Hantu Mok Joh bermula apabila pelbagai andaian mula muncul rentetan dari kehilangan Mok Joh yang dikatakan mati kerana melanggar sumpah Saka Mak Yong yang dipeliharanya. Namun yang menjadi misteri ialah, sehingga kini jenazah Mok Joh masih belum ditemui. Penduduk kampung mula diganggu makhluk yang dikatakan sebagai hantu Mok Joh. Kedai Kopi Pok Heng yang selama ini kekurangan pelanggan, kini menjadi ruang para penduduk membincangkan isu panas tersebut.

Saksikan filem seram komedi, Hantu Mok Joh di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 17 Februari 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.