ADVERTORIAL
Buta Pun Mampu Tawan Gunung Tahan - Siti Huraizah
10 tahun lalu, Siti Huraizah Ruslan, 34, pernah melakar rekod sebagai kumpulan pendaki sulung kelainan upaya penglihatan pertama yang menakluk Gunung Tahan.
Siti Huraizah bersama tujuh rakannya yang memiliki kecacatan serupa berjaya mendaki puncak tertinggi Semenanjung Malaysia dan nama mereka dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.
Bagi graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dan Artistik (Penulisan Seni Layar) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, kekurangan diri mencabarnya untuk bangkit mencari penyelesaian dan memperbaiki kehidupan.
"Setiap cabaran pasti ada hikmah di sebaliknya dan kalau kita diuji dengan kesusahan mesti akan ada kebahagiaan akhirnya.
"Kita semua sama, tidak kira Orang Kelainan Upaya (OKU) atau normal, masing-masing ada kekurangan. Cuma kita sendiri yang perlu bangkit," ujarnya dalam episod terbaharu Inspirasi Taqwa.
Bertugas sebagai Eksekutif Bahagian Aksesibiliti dan Advokasi MAB, dia perlu berjumpa dengan ramai orang serta menyifatkannya sebagai satu latihan berterusan agar yakin terhadap diri sendiri.
"Tuntutan kerja saya termasuk mengaudit dan mengakses bangunan-bangunan bagi kebolehaksesan individu cacat penglihatan. Kami (MAB) turut mengakses projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Terminal Bersepadu Selatan.
"Saya turut terbabit dengan sesi latihan khas bersama bakal pramugara dan pramugari Air Asia untuk mengajar mereka mengenai teori dan praktikal mengendalikan penumpang OKU," katanya.
Siti Huraizah hilang daya penglihatan sejak berusia tujuh tahun setelah menghidap sejenis penyakit mata trakoma.
Setelah disahkan pegawai perubatan akan penyakitnya, Siti Huraizah dihantar oleh keluarganya ke sebuah sekolah pendidikan khas di Johor agar tidak ketinggalan.
"Dalam keluarga memang saya rasakan saya paling kurang keupayaan berbanding adik beradik lain.
"Namun apabila bercampur sesama kita (OKU), saya mendapat semangat baru dan tidak menyangka mampu melakukan pelbagai perkara luar jangka," tambah.
Inspirasi Taqwa dibawakan oleh Vivo. VIVO V5S | Selfie Sempurna. Ditayangkan setiap hari Rabu pukul 7.30 malam di saluran Astro Oasis.
Teks oleh: Amri Hassan