Vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat berjaya menggapai impiannya untuk memiliki sebuah rumah hasil titik peluh sendiri.

Memetik laporan Sinar Harian, Azmi, 33, berkongsi rumah baru miliknya itu akan siap tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, sejak bergelar artis saya dapat mengembangkan bakat nyanyian dan muzik pada ruang yang lebih besar.

“Kalau dulu, saya hanya menyanyi di jalanan dengan kelompok peminat yang kecil. Malah saya hanya melakukan rutin yang sama kerana keterbatasan diri.

“Bila masuk industri, kehidupan berubah 360 darjah. Banyak peluang orang bagi untuk saya bawa bakat sejauh mana yang mampu tanpa sebarang prejudis,” ujar Azmi kepada Sinar Harian.

Selain rumah sendiri, Azmi kini dalam proses mengumpul barang-barang muzik untuk keperluan studio miliknya.

“Kalau tak berada di sini hari ini, mungkin impian untuk buka studio tidak akan terlaksana.

“Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh orang dalam industri kepada orang kelainan upaya macam saya. Banyak pencapaian yang saya raih sepanjang lima tahun ini.

“Paling memberi kesan, semestinya perubahan hidup saya yang kini jauh lebih baik berbanding dulu. Sebelum jadi artis, pendapatan saya hanya cukup-cukup makan sahaja, itupun kalau tak kena tipu,” jelasnya lagi.

Imbas kembali, Azmi yang pernah bekerja sebagai tukang urut mula melakar populariti selepas kumpulan Caliph Buskers muncul di Anugerah Juara Lagu 29 bagi menggantikan vokalis Mojo, Aweera menerusi persembahan lagu Romancinta.