Kehilangan deria penglihatan mungkin melemahkan semangat seseorang individu. Tidak bagi skuad Harimau Buta Malaysia, bergelar orang kelainan upaya (OKU) membuatkan mereka merasa bangga sehingga layak diangkat sebagai filem.

Sebuah filem yang mengangkat tema sukan bola sepak paralimpik negara, Eye on The Ball (EOTB) bakal meruntun jiwa penonton di pawagam rumah anda, Astro First bermula 20 Ogos ini.

Bergenre dokumentari, filem ini diarahkan oleh sutradara berbakat Chen Yih Wen.

EOTB menceritakan kisah suka duka pasukan bola sepak cacat penglihatan yang melakar kemenangan di Sukan Para ASEAN 2017 untuk melayakkan diri ke kejohanan bola sepak cacat penglihatan dunia.

Diterajui oleh pemain profesional sebenar, mari semak sebahagian daripada skuad Harimau Buta negara.

1. Asri Arshad


Hilang penglihatan sejak lahir, minat terhadap sukan bola sepak sedikit pun tidak menghalang minat Asri untuk bergelar atlet.

Terkenal sebagai seorang yang happy-go-lucky, Asri tetap tidak patah semangat bergelar pemain bola sepak paralimpik profesional biar pun telah berdepan beberapa kecederaan.

Berusia 25 tahun, Asri merupakan ayam tambatan bagi pasukan bola sepak paralimpik negara

2. Azwan “Kenchot” Azhar


Azwan, 26, merupakan seorang pemain senior yang berasal daripada sebuah kampung nelayan di selatan tanah air.

Sejak bapanya hilang di laut, Azwan atau lebih mesra disapa Kenchot menjadi pencari nafkah tunggal keluarganya dan dia terpaksa memilih antara menguruskan pusat refleksologi atau terus bermain bola sepak.

Kenchot juga terkenal dengan sikap cepat marah dan sering memberi masalah kepada jurulatih.

3. Rollen Marakim


Rollen merupakan satu-satunya pemain yang tidak pernah menikmati penglihatan. Membesar di negeri Sabah, keluarganya mula menyedari yang Rollen buta ketika berusia 3 tahun apabila dia berlari ke arah lampu pelita dan hampir menyebabkan rumahnya terbakar.

Dalam keadaan terpaksa, keluarga Rollen menghantarnya ke bandar untuk Rollen mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik.

Selain bergelar pemain bola sepak cacat penglihatan kebangsaan, Rollen, 30, turut bergelar operator telefon untuk orang cacat penglihatan di ibu kota.

4. Sunny Shalesh (Jurulatih)


Jurulatih Sunny Shalesh meninggalkan kerjayanya dalam dunia korporat untuk menyertai pusat pembelajaran komuniti untuk kanak-kanak dan orang kurang upaya milik isterinya.

Bergelar pemain bola sepak sejak zaman remajanya, Sunny banyak mendapat inspirasi daripada adik lelakinya yang mengalami masalah palsi serebrum.

Kini, Sunny, 50, menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang ada untuk memperkasakan komuniti tersebut menerusi sukan. Pada tahun 2009, dia mula mengajar bola sepak untuk orang cacat penglihatan.

Saksikan filem EOTB di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 bermula 20 Ogos 2020.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton filem ini selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem ini, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.