Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Cakap Bahasa Melayu, Buat Kejutan Pakai Jersi Malaysia… Ini 10 Perkara Menarik Tentang Konsert Anne Marie Live In Malaysia 2019

Asraf Aided 23/07/2019 | 08:24 MYT
Konsert Anne Marie Live In Malaysia 2019 telah berlangsung dengan meriah bertempat di KL Live @ Life Center malam tadi.
Lebih seribu penonton telah hadir memenuhi ruangan KL Live untuk menyaksikan persembahan penyanyi berbakat ini.
Antara lagu yang telah dipersembahkan adalah Rockabye, 2002, Friends dan banyak lagi.
Di sini, Gempak kongsikan sepuluh perkara menarik sepanjang berlangsungnya konsert terbabit.
1. Peminat Masuk Awal, Seakan Tidak Sabar!
Ruangan KL Live telah dipenuhi penonton kira-kira sejam sebelum konsert itu bermula. Semua peminat seakan tidak sabar menunggu kemunculan Anne. Mereka sudah mula 'bergoyang' mendengar muzik latar yang dimainkan sebelum bermulanya konsert itu.
2. Persembahan Pembukaan Artis Tempatan
Sebelum Anne muncul, peminat telah dihiburkan oleh Andi Bernadee, Amir Hasan, Bunga dan Layla Sania. Persembahan empat artis tempatan ini menghangatkan suasana malam itu.
3. Suasana Lebih Hangat Apabila Anne Muncul!
Suasana konsert itu menjadi lebih gamat apabila Anne muncul dan menyanyikan lagu Ciao Adios. Semua penonton semakin rancak menari menikmati muzik dan persembahan penyanyi kesayangan mereka itu.
4. Bukan Dewasa Sahaja, Kanak-Kanak Pun Turut Bergembira!
Konsert malam tadi bukan sahaja sesuai untuk golongan remaja dan dewasa, malah ia juga boleh dinikmati oleh golongan kanak-kanak. Terdapat sekumpulan kanak-kanak perempuan menari lincah mengikut alunan muzik di konsert itu. Comel sungguh!
5. Kehadiran Selebriti Tempatan
Antara selebriti tempatan yang hadir menyaksikan kosert tersebut adalah Datuk AC Mizal bersama isterinya, Datin Emylia Rosnaida, Datuk Fazley Yaakob dan isteri, Fiqrie Dahari dan Mark O'Dea. Mereka kelihatan terhibur menyaksikan persembahan Anne malam tadi.
6. Cakap Bahasa Melayu Atas Pentas!
Di pertengahan konsert, Anne bertutur beberapa patah perkataan dalam Bahasa Melayu untuk mengucapkan terima kasih kepada semua penonton serta bertanya khabar mereka. Ia membuat suasana lebih meriah dengan sorakan penonton!
7. Anne Puji Makanan Malaysia
Selain bertutur dalam Bahasa Melayu, Anne turut memuji makanan tempatan di Malaysia. Penyanyi ini memaklumkan kepada penonton yang dia sudah mencuba beberapa jenis makanan tempatan dan amat menyukainya.
8. Buat Kejutan Pakai Jersi Malaysia
Anne membuat kejutan apabila muncul dari belakang pentas memakai jersi Malaysia untuk mengambil gambar berlatar belakangkan semua penonton. Semua penonton kelihatan amat teruja melihat Anne yang bangga menyarung jersi tersebut.
9. Lagu Rockabye Puncak Kemeriahan!
Suasana meriah malam tadi sampai ke kemuncak apabila Anne menyanyikan lagu kegemaran ramai iaitu Rockabye diikuti 2002 dan Friends. Boleh dikatakan, tiga lagu akhir ini mampu menutup konsert tersebut dengan harapan agar Anne kembali lagi ke Malaysia untuk konsert seterusnya.
10. Anne Akan Kembali Ke Malaysia!
Ya benar! Penyanyi ini membuat pengumuman yang dia akan kembali lagi ke Malaysia untuk membuat persembahan. Semua penonton bersorak gembira mendengar berita baik itu!
Secara keseluruhan, Konsert Anne Marie Live In Malaysia berjaya memukau penonton dengan susunan lagu yang tidak membosankan. Lontaran vokal hebat dan kemesraan Anne berinteraksi bersama penonton menambahkan lagi rencah pada konsert tersebut!
Kredit Foto : Chris Chew/ @chrischew
#Anne Marie
;