HIBURAN

Cakra Khan Suka Borong Mi Segera Perisa Kari Setiap Kali Ke KL, Love Mi Goreng Mamak Juga - “Berkotak-Kotak Bawa Pulang…”

Umirah Halim 26/06/2025 | 06:55 MYT
Selain suara serak basah dan lagu-lagu hit yang memukau, penyanyi Indonesia, Cakra Khan rupa-rupanya mempunyai satu tabiat unik setiap kali menjejakkan kaki ke Malaysia, iaitu memborong mi segera perisa kari.

Menurut Cakra, dia akan membawa pulang berkotak-kotak mi segera kegemarannya itu ke Indonesia hingga pernah disangka mahu menjual semula oleh pihak berkuasa lapangan terbang.

“Saya akan bawa pulang berkotak-kotak sehingga disangka mahu menjual semula ketika diperiksa oleh pihak berkuasa di lapangan terbang.

“Setiap orang yang ikut saya ke Kuala Lumpur akan bawa satu kotak,” katanya sambil ketawa.

Namun ujar penyanyi Harus Terpisah itu, situasi itu kini menjadi perkara biasa kerana pihak berkuasa sudah mula mengenali ‘kegilaannya’ terhadap makanan tersebut.

“Tetapi sekarang seperti sudah terbiasa. Pihak berkuasa di lapangan terbang pun seakan tahu makanan kegemaran saya dan sudah tidak banyak bertanya,” kongsinya ketika ditemui di sidang media Divine Concert – Cakra Khan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu.

Berbeza Rasa, Lebih Unik

Mengulas mengenai pemilihannya terhadap jenama mi segera tempatan, Cakra menjelaskan bahawa mi segera Malaysia mempunyai rasa kari yang sangat unik berbanding versi di Indonesia.

Selain mi segera, Cakra turut meminati mi goreng mamak Malaysia. Namun begitu, dia mengakui tidak dapat membawa makanan itu pulang kerana tidak tahan lama.

“Mi instan yang ada di Indonesia berbeza dengan yang ada di sini.Di Indonesia saya suka satu jenama mi segera, tetapi rasa kari itu berbeza. Perisa kari yang dijual di sini ada keunikan sendiri.

“Saya suka makan mi goreng mamak juga, tapi tidak boleh dibungkus bawa ke Indonesia, nanti basi dan dah tak sedap,” ujarnya.

Sudah Mahir Masak Mi Sejak Kecil

Menariknya, Cakra turut berkongsi bahawa dia sudah pandai memasak mi segera sejak kecil hasil tunjuk ajar ibunya.

“Daripada dulu saya sudah tahu masak mi segera. Ibu juga selalu pesan supaya menambah sayuran serta bahan lain.

“Biasanya saya akan hidang dalam mangkuk besar sebab ada banyak bahan campuran lain,” katanya kepada Gempak.

Cerewet Demi Kepuasan Konsert

Dalam pada itu,penyanyi berusia 33 tahun itu turut sempat kongsi mengenai persiapannya menjelang konsert Divine Cakra Khandi Malaysia.

“Saya akan selalu ambil tahu termasuk dari segi pencahayaan dan konsep pentas. Semuanya kena sesuai dengan lagu.Dari pengalaman lepas, saya jadi lebih teliti untuk konsert ini. Saya akui agak sedikit cerewet dan ambil tahu tentang semua hal,” ujarnya.

Konsert Divine Cakra Khan dijadual berlangsung pada 2 Ogos 2025 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang rasmi www.myticket.asia.

#Khan #Kari #Mi Segera #Cakra #borong