Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Calon SPM Dihadapkan Ke Mahkamah Atas Pertuduhan Merompak Pembuat Kopi?

Hanafis Haris
09/02/2021 15:23 MYT

Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengejutkan ramai pihak apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini.

Pelajar tersebut dihadapkan ke Mahkamah atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang pembuat kopi atau barista di sebuah perhentian bas di Kuala Lumpur, bulan lepas.

Menerusi laporan Bernama, pelajar lelaki berusia 17 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Dia yang dijangka menduduki peperiksaan SPM pada 22 Feb ini, didakwa bersama seorang yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap Muhammad Haris Mohamad Fauzi, 19, dengan mengambil telefon pintar dan beg galas yang mengandungi barangan peribadi mangsa di Hentian Bas Ekspress, Greenwood, dekat sini pada 6.36 pagi, 20 Jan lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakieraah Zakaria menawarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap remaja yang tidak diwakili peguam itu.

Difahamkan, remaja itu yang kelihatan sedih itu merayu jaminan rendah atas alasan dia masih bersekolah dan tinggal bersama ibu serta bapanya yang kini tidak bekerja.

Bapanya juga hadir ke mahkamah.

Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Sumber : BERNAMA

#Viral #Mahkamah #SPM #Barista
;