Pelakon dan pengacara Lisa Surihani tampil cantik tanpa solekan tebal sebagai penghias muka depan majalah EH! edisi Ogos.

Segar dalam persalinan berona kuning lembut, inilah kali pertama Lisa menjadi penghias muka depan majalah selepas berhijab hampir sebulan yang lalu.

Menurut Editor Majalah, Khairul Abidin, konsep kali ini dipilih oleh pasukan EH! sendiri memandangkan Lisa baru sahaja pulang daripada mengerjakan umrah.



“Konsep cover ini dipilih bersesuaian dengan hijrah spiritual Lisa Surihani, jadi semuanya serba sederhana, serba modest.

“Sesuai dengan imej berhijab, gaya yang ditampilkan tidak keterlaluan, pilihan baju pun longgar namun masih nampak ‘fesyen’ dan moden.

“Solekan juga sangat tipis memandangkan Lisa sendiri punya kulit yang cantik dan sihat. Hanya pakai lip balm dan dilapisi dengan lipgloss sahaja,” katanya ketika dihubungi Gempak.

Malah tambahnya, bersempena dengan ulang tahun ke-20 EH! pada Oktober ini, Lisa dipilih kerana dia telah banyak memberikan sokongan kepada majalah itu sejak daripada awal penerbitan lagi.

“Proses penggambaran juga hanya mengambil masa tiga jam berbanding waktu kebiasaan dalam lima jam.



“Lisa juga meminta agar kisah penghijrahannya tidak menjadi topik utama (juga tidak dijadikan tajuk di cover depan) kerana bagi dia hijab itu sangat luas definisinya dan dia sendiri masih baru,” kata Khairul lagi.

Dalam perkembangan lain, Lisa kini tampil mengendalikan sebuah program mengenai info kesihatan wanita iaitu Tanya Doktor Imelda, bergandingan bersama Dr. Imelda Balchin.

Tanya Dr. Imelda yang mula ditayangkan pada 4 Julai, setiap Khamis jam 9 malam di saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121).