Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Cantik Tak Semestinya Putih…" - Dayang Nurfaizah

Syafiqah Jalal
07/08/2020 08:09 MYT
Penyanyi Dayang Nurfaizah akui tidak akan mengubah wajah serta warna kulitnya untuk kelihatan lebih cerah.

Malah menurut Dayang, dia akan mengelak untuk menggunakan produk pemutihan kulit.

“Setakat ni saya tidak ada keinginan untuk memutihkan kulit atau mengubah wajah kerana saya bimbang bila perubahan itu akan menjadi tidak sempurna serta memberi kesan kepada kulit dan bentuk wajah saya.

“Saya paling tidak gemar dengan produk pemutihan atau pencerahan kulit kerana bagi saya apa yang penting kulit wajah yang sihat kerana cantik tak semestinya perlu berkulit putih. Lagipun saya selesa dengan warna kulit saya.

“Malah bila saya menggunakan solekan, saya akan pastikan warna kulit saya tidak berubah dan fungsi solekan hanya untuk memberi seri pada wajah bukan untuk mengubah atau melindungi cacat cela muka,” katanya kepada Astro Gempak.

Dayang ditemui ketika pelancaran mengumumkannya sebagai duta kepada produk kecantikan Bungaa di Royale Chulan Damansara, semalam.

Kata pelantun lagu Lelaki Teragung itu lagi, kecantikan datang dari kulit yang sihat dan keyakinan diri.

“Pada saya, cantik tu apabila kita rasa yakin, bila kita yakin dengan diri serta penampilan, kita secara automatik akan rasa cantik.

“Bila kita yakin, kita keluar tanpa solekan pun kita rasa cantik,” katanya lagi.

Dayang bakal muncul sebagai juri tetap program reality Big Stage musim ketiga yang akan bermula bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada setiap Ahad, jam 9.00 malam mulai 16 Ogos 2020 di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).
;