Capai Impian Jadi Penyampai Radio, Jurulatih Kecergasan Kacak Ini Muncul Juara #GengBaruGegar

Kamaruddin Razal
Mac 29, 2018 01:11 MYT
Program pencarian penyampai baru stesen radio GEGAR Permata Pantai Timur (#GengBaruGegar) sudah melabuhkan tirainya baru-baru ini.
Jurulatih kecergasan, Amirul Agam, 26, berjaya menewaskan empat peserta lain dan mengungguli gelaran juara bagi pencarian #GengBaruGegar.
Meminati bidang seni, pemilik nama penuh Muhamad Amirul Agam Iryadi ini bakal mengendalikan segmen Ceria Pagi Hujung Minggu GEGAR yang bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu bermula jam 6 sehingga 10 pagi.
“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana telah melepasi semua cabaran #GengBaruGegar dan berjaya bergelar penyampai baru untuk stesen radio paling popular di Pantai Timur ini.
“Semenjak dahulu lagi, saya memang meminati bidang seni, lebih-lebih lagi bidang penyampaian radio dan pengacaraan. Saya memang menanam impian untuk menjadi seorang penyampai.
“Namun begitu, semuanya terbatas kerana kekangan kerjaya. Selepas saya sudah bekerja sendiri, saya beranikan diri untuk mencuba nasib. Peluang ini tidak akan saya persiakan dan saya akan melakukan yang terbaik untuk pendengar setia GEGAR,” kata Agam.
Turut dikenali dalam bidang kecergasan tempatan, Agam pernah terlibat dengan beberapa program kesihatan seperti Astro Bella Jom Kurus dan Misi XL Rahim anjuran stesen radio SINAR.
“Saya juga akan menggunakan kelebihan serta ilmu yang ada dalam bidang kecergasan untuk diterapkan sebagai kandungan penyampaian saya kelak.
“Selain itu, saya juga mempunyai hasrat dalam menarik perhatian golongan muda untuk menjadi pendengar stesen radio GEGAR menerusi platform kandungan digital,” katanya lagi.
Bertemu dengan Pengurus Kandungan GEGAR, Raja Nadia Salwana, dia menjelaskan Agam merupakan peserta yang mempunyai prestasi baik dalam setiap cabaran.
“Sejujurnya, Agam bukan peserta kegemaran untuk memenangi #GengBaruGegar. Namun begitu, Agam menunjukkan kesungguhan dalam setiap tugasan yang diberikan.
“Selepas beberapa cabaran, Agam mula menyerlah dan menonjolkan prestasi yang membanggakan. Bermula dengan 289 penyertaan sehingga berakhir dengan lima calon pemenang, Agam akhirnya berjaya merebut gelaran juara.
“Semoga barisan penyampai baru dan lama ini dapat menguatkan lagi stesen radio GEGAR dan saya berharap agar kami dapat menghiburkan serta memberi impak positif terhadap pendengar baru dan lama,” kata Raja Nadia.
Untuk maklumat lanjut mengenai stesen radio GEGAR, layari laman web www.gegar.my atau ikuti laman media sosial GEGAR di Facebook, Twitter dan Instagram.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Agam & GEGAR
#GEGAR #GengBaruGegar #Amirul Agam