Penyanyi rap Caprice berhasrat untuk membayar kompaun pelajar yang didakwa telah menerima saman daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Hasrat tersebut dinyatakan Caprice menerusi sebuah hantaran di Instagram (IG)nya yang dimuat naik sekitar jam 10 malam tadi.

Caprice juga telah meminta pengikut yang mengenali para pelajar yang disaman untuk menghubunginya menerusi mesej peribadi (DM) di IG.

Selain membayar kompaun, Caprice juga mahu menghadiahkan mereka baju raya.

“Siapa-siapa kenal student-student ni tolong DM. Caprice dan @hijabista.hub nak cover cost kompaun diaorang dan kasi baju raya caprice,” tulisnya ringkas.

A post shared by Caprice (@capriceofficial)

Terdahulu kecoh di platform Twitter apabila ada pelajar sekolah matrikulasi di Perak dikatakan telah dikompaun sebanyak RM1500 gara-gara tidak memakai pelitup muka, dan telah mencetuskan kemarahan warganet.

Menerusi gambar tangkap layar yang dimuat naik seorang pengguna Twitter, kejadian dipercayai berlaku ketika pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pemantauan di kafe sekolah matrikulasi berkenaan.

Kes yang pada awalnya membabitkan isu keracunan makanan di kafe tersebut, meleret kepada tindakan kompaun terhadap pelajar yang berkeliaran di sekitar kawasan itu.

Perkara itu sekali gus mengundang rasa marah netizen memandangkan kebanyakan pelajar datang dari keluarga yang tidak berkemampuan.

Malah, kebanyakan pelajar dikatakan tidak pernah keluar dari matrikulasi tersebut lebih empat bulan susulan pandemik COVID-19.

[[BACA: Ramai Bengang Isu Pelajar Matrikulasi Dikompaun RM1500...]]