Caprice Tegur Tindakan PU Amin Berkenaan Isu Bencana Di Indonesia

Asraf Aided
Oktober 2, 2018 08:00 MYT
Penyanyi rap popular, Caprice telah menegur tindakan Pencetus Umah (PU) Amin berkenaan kenyataan yang dibuatnya berkaitan bencana yang menimpa Lombok dan Palu baru-baru ini.
"Ulama di Indonesia bersepakat bahawa malapetaka besar yang berlaku secara berturut-turut di Lombok dan Palu adalah kerana maksiat yang berleluasa, setelah hadirkan nasihat, Allah turunkan laknat agar manusia beringat," tulis Amin di laman Twitter.
Caprice tidak bersetuju dengan kenyataan terbabit dan menegur Amin menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya berserta foto paparan skrin 'tweet' tersebut.
"Salam PU Amin, maaf saya nak tegur secara terbuka, kenyataan anda di Twitter berkenaan isu bencana di Indonesia benar-benar membuat saya kecewa.
"Kita harus menghormati mereka yang kehilangan orang tersayang.
"Netizen mula membuat pelbagai spekulasi selepas membaca 'tweet' tersebut sehingga ada yang berkata bencana yang menimpa bumi Indonesia itu berlaku disebabkan adanya pesta LGBT di kawasan itu, bagaimana jika dakwaan itu tidak benar?
"Kita seharusnya mendoakan kebaikan untuk mereka dan bukan menilai dari sudut agama, saya harap anda faham," tulisnya.
Di ruangan komen, rata-rata netizen turut menyokong teguran dan pendapat Caprice mengenai perkara terbabit.
#Caprice #PU Amin