Laman Utama
Caprice Teruskan Misi Seorang Diri, Tak Ikut 'Team' Balik Malaysia - "Tolong Doa Untuk Saya Agar Perjalanan Berjalan Dengan Lancar"
Penyanyi rap, Caprice, 32, memberitahu dia memilih untuk tidak bersama-sama yang lain pulang ke Malaysia kerana akan meneruskan perjuangan di Palestin secara bersendirian.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli mengakui ini adalah perjalanan misi yang paling sukar namun dia percaya ada hikmah di sebalik semua ujian yang diterima.
"Saya baru habis kemas barang. Saya akan teruskan misi saya seorang diri. Semua orang dah balik ke Malaysia.
"Saya pilih untuk teruskan misi saya. Insya-Allah. Ini adalah misi paling sukar dalam kehidupan saya selama kita berjuang, berjihad dan beribadah.
"Alhamdulillah, saya percaya hikmah di sebalik semua ini," katanya.
Menerusi perkongsian di Instagram Stories, Caprice tidak menunjukkan mukanya, sebaliknya kelihatan beberapa bagasi dan buku yang dipegang.
Dalam pada itu, pelantun lagu Lenglui turut memohon maaf kepada semua orang yang berasa kecewa dengan kelakuannya tempoh hari.
"Sekali lagi saya minta maaf pada sesiapa yang saya dah sakiti, saya kecewakan. Saya mohon maaf.
"Halalkan makan dan minum, tolong doa untuk saya agar perjalanan dan ibadah ini berjalan dengan lancar.
"Insya-Allah satu hari nanti saya akan banggakan. Demi Ummah, demi Malaysia," katanya lagi.
Sebelum ini nama Caprice menjadi kontroversi selepas memuat naik beberapa hantaran di IG, meluahkan rasa tidak puas hati apabila tidak dibenarkan masuk ke Gaza.
Isu menjadi semakin panas apabila nama Ebit Lew turut disebut dan warganet mengecam tindakan tersebut sehingga mendakwa Caprice berdengki dengan penceramah bebas tersebut.
Bagaimanapun, selang beberapa hari, Caprice tampil memohon maaf kepada DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan pendakwah bebas Ebit Lew.
Selain itu, hantaran mengenai mengenai penjelasan yang akan dibuat pada hari ini juga sudah dipadam di Instagram miliknya.
Must-Watch Video