Hiburan
Cari Bakat Wakili Malaysia Ke Sepanyol, I-Sing Malaysia 2019 Adakan Uji Bakat Nyanyian Hujung Minggu Ini
Pertandingan bakat, I-Sing World bakal membuka tirainya pada November kelak.
Untuk tidak melepaskan peluang keemasan itu, pihak I-Sing Malaysia 2019 bakal mengadakan uji bakat nyanyi untuk mencari individu berbakat bagi mewakili Malaysia ke Sepanyol pada November depan.
Menurut jurucakap I-Sing Malaysia 2019, Tengku Izuan Fareed, uji bakat itu tidak terhad hanya kepada orang biasa sebaliknya terbuka juga kepada penyanyi professional.
“Kami memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk hadir menunjukkan bakat nyanyian mereka.
“Pertandingan ini agak berbeza berbanding yang lain kerana kami ingin mencari bakat yang boleh mewakili negara ke persada antarabangsa.
“Untuk I-Sing World 2019, sebanyak 40 negara bakal menghantar wakil mereka termasuklah Malaysia.
“Membawa nama Malaysia untuk bersaing dengan negara-negara luar bukanlah satu perkara yang patut disia-siakan.
“Peluang terbuka kepada semua termasuklah penyanyi professional dan tidak ada sebarang markah istimewa akan diberikan.
“Tidak kira sama ada penyanyi atau tidak, jika anda bagus maka baguslah. Semuanya akan dinilai secara adil oleh juri-juri yang bertugas.
“Ini adalah pertandingan yang bakal membawa nama Malaysia jadi kami harus tegas dan memilih yang terbaik,” jelasnya ketika ditemui Gempak.
Pihak I-Sing Malaysia 2019 juga bakal menjalinkan hubungan kerjasama dalam penganjurannya bersama Kuala Lumpur International Chamber of Commerce (KLICC) selain pusat membeli-belah KL Gateway sebagai penaja rasmi lokasi uji bakat.
Peringkat saringan uji Bakat ini bakal berlangsung pada 20 dan 21 Julai ini bertempat pusat membeli-belah KL Gateway.
Terdahulu, I-Sing World edisi pertama telah diadakan di Myanmar pada tahun 2017 dan tahun 2018 iaitu edisi kedua pula telah beralih lokasi di Paris.
Manakala untuk edisi ketiga iaitu bulan November tahun ini, pemilihan lokasinya adalah di Sepanyol.
Must-Watch Video