“Saya yakin Ummi mampu bawa koleksi kami ke tahap lebih eksklusif di mata pelanggan,” demikian kata-kata usahawan tudung jenama By CheFiza iaitu Che Nurul Hafizah apabila ditanya mengenai pemilihan pelakon Ummi Nazeera sebagai duta jenama tersebut.

Selain dilihat mampu membawa jenama tersebut ke satu tahap yang lebih tinggi, Nurul Hafizah turut menjelaskan bahawa aktres berusia 32 itu turut mempunyai aura positif sama seperti dirinya.

Ummi Nazeera ada aura positif

“Bila ambil Ummi saya sangat gembira kerana dia seorang duta yang sangat mudah untuk bekerjasama.

“Saat dia bersetuju untuk jadi duta jenama saya, ia adalah satu berita yang seronok untuk saya dan team terutamanya.

“Ummi seorang yang sangat humble, malah saya terkejut apabila dia selalu posting di media sosial dia lebih daripada yang sepatutnya dia promote.

“Satu perkara lagi, saya juga melihat Ummi mempunyai aura positif yang sama macam saya. Untuk membawa jenama ini ke satu tahap yang tinggi, kita memang memerlukan seorang duta yang memiliki aura seperti Ummi,” katanya kepada Gempak.

Nurul Hafizah berkata demikian ketika ditemui pada malam BCF Lead Awards anjuran By CheFiza yang berlangsung di Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ummi tak mahu cipta kontroversi

Sementara itu, menurut Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang duta jenama tersebut adalah tidak mudah.

Ini kerana, dia harus memastikan tiada sebarang kontroversi yang timbul sehingga dikhuatiri akan menjejaskan jenama By CheFiza.

“Jujur saya katakan daripada hati saya, By CheFiza adalah tudung sarung pertama yang saya suka. Kerana design dan kualiti By CheFiza sangat berkualiti.

“Malah Ummi boleh gayakan bila-bila masa sahaja, waktu Ummi buat exercise, memasak dan beberapa aktiviti harian yang lain.

“Pada saya, antara cabaran terbesar menjadi duta adalah untuk tidak membuat sebarang masalah atau kontroversi yang boleh memburukkan nama saya sehingga jenama ini, to carry without mistake.

Mengenai By CheFiza

By CheFiza diasaskan oleh Che Nurul Hafizah binti Che Zulkifli yang lebih dikenali sebagai Puan Chefiza dan suaminya, Muhammad Fitri Abdul Razak selaku pengasas bersama. Syarikat ini ditubuhkan pada 14 Jun 2019 yang berpusat di Kelantan.

By Chefiza Sdn Bhd merupakan pengeluar produk busana muslimah dengan jenama By Chefiza atau lebih dikenali dengan nama BCF. Pada awal penubuhan syarikat, jenama BCF telah menjual lebih dari sejuta helai anak tudung yang ketika itu dikenali “Snowcap Berhantu”.

Hasil dari permintaan yang tinggi inilah BCF komited dalam pengeluaran busana muslimah terutamanya produk tudung yang mampu milik, selesa dipakai serta patuh syariah. Bermula dengan hanya 10 orang pekerja sahaja di awal penubuhan, kini BCF telah mempunyai kilang pengeluaran sendiri dan memiliki lebih 60 pekerja. Memiliki 17 cawangan dan hampir 11,000 ejen di seluruh negara, kini BCF telah mempunyai 17 ‘SKU’ produk dari tudung, stokin, sarung lengan, sarung leher wanita dan juga anak tudung.

BCF Lead Award

BCF Lead Award 2022 adalah majlis penganugerahan kepada kesemua Leader, Stokis dan Ejen yang telah mencapai jualan tertinggi sepanjang tahun 2022.BCF Lead Award adalah majlis tahunan yang akan dibuat oleh BCF dan julung kalinya majlis ini diadakan di luar Kelantan.

Terdapat 3 objektif utama yang ingin dicapai melalui penganjuran majlis ini iaitu, memberikan penghargaan kepada ahli keluarga BCF yang telah mencapai jualan yang sangat luar biasa. Kedua, memperkenalkan kempen pemasaran terbaru dari BCF iaitu “Go to Market Strategy”. Ketiga, melancarkan produk terbaru keluaran BCF.