Hiburan
Carta RIM Kembali, Buka Peluang Kepada Penyanyi Baharu
Persatuan RIM (Recording Industry Association of Malaysia) baru-baru ini telah mengumumkan kembalinya Carta RIM setelah lebih sedekad tidak bersiaran.
RIM juga dengan sukacitanya mengumumkan, program ini bakal kembali menemui peminat pada setiap hari Jumaat, dan boleh diikuti di laman web rasmi RIM dan platform media sosial.
Pengerusi RIM merangkap pengarah urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy menjelaskan bahawa carta ini terhasil berdasarkan laporan yang diperolehi dari portal muzik digital seperti Apple Music, Spotify, KKBox, dan Deezer. Carta RIM ini juga mendapat kerjasama dari BMAT, sebuah syarikat khidmat pemantauan muzik.
“Carta yang dinanti-nanti oleh peminat muzik ini akan menyenarai pendek 20 buah lagu yang paling banyak didengari.
“Carta ini berbeza dengan yang sebelumnya kerana ia akan memantau lagu berdasarkan pendengar yang menggunakan platform digital. Perkara ini juga memberikan kita gambaran yang jelas tentang bagaimana peminat mendengar lagu masa kini,” katanya.
Ditanya tentang mengapa carta ini dikembalikan, Darren memberitahu ia merupakan tanda sokongan terhadap industri muzik tempatan.
“Kami rasakan ini adalah masa yang sesuai untuk carta ini kembali kerana pelbagai pembaharuan telah dilakukan selari dengan arus digital.
"Inilah cara masyarakat kini mendengar muzik, dan kami anggap ini sebagai sumbangan kami terhadap industri seni,” jelasnya.
Selain memberi sokongan kepada industri muzik tempatan, Carta RIM dilihat dapat membantu bakat-bakat baru untuk mempromosikan lagu mereka.
Penyanyi baharu, Ismail Izzani ketika dihubungi Astro Gempak berkata dia amat teruja dengan kemunculan kembali Carta RIM ini dan ia dilihat amat berfungsi sebagai platfom baik untuk mempopularkan sesebuah lagu.
“Saya berasa teruja kerana lagu saya tersenarai dalam Carta RIM dan mendapat tempat pertama untuk minggu terkini.
“Carta RIM ini juga dilihat sebagai medium yang bagus untuk artis baharu seperti saya dan ianya perlu diteruskan bagi tahun-tahun akan datang,” ujarnya teruja.
Carta RIM ini akan menyenarai pendek 10 tajuk lagu tempatan dan 20 tajuk lagu campuran penyanyi tempatan dan antarabangsa yang paling didengari oleh peminat muzik dalam tempah seminggu.
Teks oleh : Izzat Ridzwan
Must-Watch Video