Laman Utama
Cayalah! Dolla Kini Berlakon Pula, Muncul Dalam Telefilem Dolla Watch Me Glow
Baru setahun menceburi bidang seni, kumpulan Dolla kini melebarkan sayap mereka dalam bidang lakonan.
Dolla bakal muncul dalam telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow terbitan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music.
Dolla Watch Me Glow arahan Izuan Mokhtar ini diinspirasikan dari kisah benar Dolla yang dianggotai oleh Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angle.
Advertisement
Idea untuk mengangkat kisah hidup Dolla tercetus daripada pihak Astro bersama Zeel Production yang melihat populariti serta impak kumpulan yang mula popular dengan lagu Dolla Make You Wanna itu wajar dikongsi bersama penonton.
Menurut Pengarah Kreatif dan Penulis Skrip, Marr Mohamad, dia amat terkejut dengan kemampuan Dolla berlakon biarpun ke semuanya pertama kali beraksi di hadapan kamera.
“Astro memberikan sepenuh kebebasan kepada Zeel Production untuk menghasilkan sebarang bentuk cerita. Tidak kisahlah sama ada kisah rekaan atau dokumentari asalkan berkisarkan Dolla.
“Mereka tertarik dengan Dolla kerana kumpulan itu mencetuskan fenomena apabila dikatakan meniru kumpulan dari Korea Selatan, Black Pink.
“Tapi setelah bertentang mata dan berbual pelbagai perkara dengan empat anggota Dolla, saya lebih tertarik untuk mengangkat kisah sebenar mereka.
“Ada pelbagai kisah menarik yang mungkin peminat tidak tahu mengenai Dolla sebelum ini. Antaranya bagaimana kumpulan itu mendapat tentangan keluarga kerana ingin bergelar penyanyi, kerana ada antara mereka yang datang daripada keluarga yang alim serta bagaimana anggota Dolla berdepan dengan kecaman peminat hingga ada yang terpaksa berjumpa dengan kaunselor kerana tertekan dengan buli siber,” jelasnya.
Tambahnya lagi, apa yang sebenarnya ingin dipaparkan adalah bagaimana kumpulan itu boleh bermula serta dari mana mereka mendapat nama Dolla.
“Peminat mungkin tidak tahu mereka juga sebenarnya datang ke Universal Music sebagai artis solo, tetapi pihak Universal menggabungkan keempat-empat mereka menjadi sebuah kumpulan.
“Jadi kita akan tunjukkan bagaimana mereka ingin mencipta keserasian sedangkan identiti mereka yang berbeza dan kita juga ingin tekankan dalam telefilem itu yang Dolla bukanlah BLACKPINK,” tambahnya.
Bagi pihak Universal Music pula, semestinya peluang diberikan Astro dan Zeel Production itu tidak seharusnya dilepaskan.
Pengurus Pemasaran dan Promosi Domestik, Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar berkata, peluang diberikan itu dapat membuka mata generasi baru terhadap anak seni kita.
“Ia satu platform yang baik untuk memperkenalkan Dolla dengan lebih dekat kepada peminat. Semestinya pihak Universal Music sangat terharu apabila pihak Astro dan Zeel berminat untuk mengangkat kisah penyanyi nanungan kami.
“Kami berharap telefilem itu dapat mengangkat dan membuka mata peminat khususnya generasi madu terhadap anak seni tempatan yang berbakat dan hebat,” kataya.
Dolla Watch Me Glow menemui peminat pada 22 Mei, jam 9 malam menerusi Astro Citra (saluran 108) dan Astro Citra HD.
Must-Watch Video