Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ceburi Bidang Teater, Asmidar Mahu Kembangkan Bakat Dalam Industri Hiburan

Rozaimi Zubaidi
22/06/2018 02:00 MYT
Penyanyi Asmidar mengambil langkah menceburi bidang lakonan bagi mengembangkan namanya dalam industri seni hiburan negara.

Asmidar atau nama sebenarnya Nor Hasmidar Ahmad, 27, berkata, dia menyifatkan cara itu sedikit sebanyak dapat membantu agar populariti namanya yang mula dikenali selepas menjadi juara dalam program Vokal Bukan Sekadar Rupa musim kelima tidak mudah tenggelam begitu sahaja.

"Dahulu saya tidak pernah terfikir bahawa populariti seseorang artis boleh hilang, tetapi lama kelamaan baru saya sedar menjadi artis bukannya senang.

"Tidak dapat dinafikan bahawa populariti boleh hilang sekelip mata jika tiada pengurusan yang baik.

"Sebab itu saya mahu meneburi bidang lakonan dan teater agar dapat mengekalkan nama dalam industri seni kita.

"Dah penat-penat kita kerja keras untuk naikkan nama pada umum, takkan nak biarkan ia hilang begitu sahaja bukan," katanya kepada Astro Gempak.

Asmidar berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan teater Bangsawan Dendam Laksamana, di Matic Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menerusi teater arahan Pat Ibrahim itu, Asmidar akan membawakan watak Tun Aria, dayang yang menjaga Wan Anum lakonan Nadia Aqilah dan naskhah itu turut dibintangi Hairi Safwan, Jay Iswazir, Azizah Mahzan, Anwar Rusdini, Asmidar Ahmad dan Nasz Zally.

Bangsawan Dendam Laksamana akan mula dipentaskan di Johor pada 25 Jun hingga 1 Julai, Melaka (2-8 Julai), Pahang (9-15 Julai), Terengganu (15-21 Julai), Pulau Pinang (22-28 Julai), Kedah (30 Julai-5 Ogos), Perak (5-11 Ogos) dan Kuala Lumpur (29 Oktober – 11 November).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
#Penyanyi #Asmidar #Penyanyi
;