Pelakon Shukri Yahaya teruja dan seronok apabila diberikan peluang untuk melakonkan babak aksi sebagai cameo dalam drama rantaian hebat I Promise Janji Anaqi yang sedang bersiaran ketika ini.

Jelas Shukri, biarpun muncul sebagai cameo memegang watak bernama Zero, seorang pembunuh upahan, melakonkan babak aksi pergaduhan sendiri menjadi pengalaman menarik sepanjang penggambaran.

Lebih mengujakan apabila dia digandingkan dengan teman baiknya, Sharnaaz Ahmad yang menjadi teraju utama drama itu.

"Saya muncul cameo sebagai watak Zero, watak kali ini sebenarnya menceriakan cerita itu dan saya berlakon sebagai pembunuh upahan.

"Semua babak aksi pergaduhan saya sendiri yang lakonkan, tiada melibatkan stand in. Ini sedikit sebanyak mengubat rindu saya yang dah lama tak berlakon drama aksi.

"Nak kata kekok bergandingan dengan Sharnaaz rasanya tak sangat, lebih kepada nak gelak sebab dia pun rakan baik saya. Tapi saya puji Sharnaaz sebab dia seorang yang sangat profesional apabila bekerja," katanya kepada Gempak.

Sepanjang penggambaran, Shukri mendedahkan hanya mengalami kecederaan ringan melibatkan otot hamstring (otot antara pinggang ke lutut).

"Saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius, cuma cedera sikit pada bahagian hamstring. Mungkin sebab dah lama tak buat cerita fighting," ujarnya.

A post shared by Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad ™ (@sharnaazahmad)


Shukri melakonkan watak Zero, seorang pembunuh upahan yang menjejak Anaqi lakonan Sharnaaz Ahmad untuk mendapatkan bantuan dari Anaqi untuk meleraikan pertelingkahan yang berlaku dalam dunia pembunuh upahan dalam drama I Promise Janji Anaqi.

Sementara itu, pengarah drama I Promise Janji Anaqi, Hadith Omar, memuji kedua-dua pelakon itu yang akrab dan punyai chemistry bagus sepanjang penggambaran.

"Hubungan akrab antara Shukri dan Sharnaaz di media sosial dapat dilihat ketika diset penggambaran.

"Mereka bukan sahaja rapat tetapi mereka berkongsi citarasa yang sama seperti memiliki kipas angin yang sama ketika berada di set.

"Ini adalah pertama kali mereka bergandingan bersama dalam satu naskah dan telatah mereka dapat dilihat ketika melakukan babak di set dimana Shukri sering mengusik Sharnaaz dan membuat Sharnaaz kadang kala terganggu ketika melakonkan babak," cerita Hadith.

Saksikan Shukri sebagai Zero dalam episod 20 drama I Promise Janji Anaqi sebagai penampilan khas malam ini!

I Promise Janji Anaqi bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 11 malam di saluran Astro Ria.