Seorang kanak-kanak mencetuskan suasana cemas seketika apabila terpaksa menahan sakit lebih 30 minit susulan kepalanya tersangkut pada sebuah kon plastik di Sekolah Kebangsaan (SK) Api-Api di Pontian, Johor pada Selasa.

Namun kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu bernasib baik kerana berjaya diselamatkan anggota bomba.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Mohd Ezal Azman memaklumkan sebelum itu pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu.

Katanya, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi mendapati terdapat seorang kanak-kanak tersangkut kon di kepala.

"PKO bertindak memotong kon tersebut menggunakan peralatan khas dan mengeluarkan kepala mangsa dengan selamat.

"Difahamkan mangsa bersekolah pada sesi pagi, dan sewaktu kejadian mangsa hendak pulang sekolah dan sedang bermain dengan rakan-rakan.

"Rakan mangsa memaklumkan mangsa memasukkan kon terlalu kuat hingga tidak boleh ditanggalkan," katanya dalam satu kenyataan.