Hiburan
Cemerlang di Pentas Teater, Nadia Brian Berterima Kasih Kepada Erma Fatima
Pendatang baru dalam dunia lakonan, Nadia Brian bangga kerana dapat bekerja di bawah arahan pengarah tersohor Erma Fatima.
Membintangi teater muzikal arahan Erma, Mak Cun D' Walei yang kini sedang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Nadia membawakan watak Julie.
Walaupun hanya muncul dalam satu babak, penonton memuji lakonan Nadia memberikan impak dalam perjalanan cerita tersebut.
"Alhamdulillah, semuanya kerana hasil didikan Erma. Walaupun hanya muncul dalam satu babak, tapi bukan mudah untuk saya merealisasikan watak tersebut.
"Erma mengajar saya untuk memberikan 'feel' sebaik mungkin dalam menjayakan watak Julie. Sekali pun saya hanya muncul dalam satu babak, Erma mahu saya meninggalkan impak.
"Saya sangat berbangga dapat bekerja dibawah arahan Erma dan dapat berlakon di samping pelakon berbakat lain. Perkara itu memberikan kepuasan kepada saya sebagai pendatang baru," kata Nadia kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Nadia membuat rujukan dengan menonton filem Hindi untuk menjayakan watak Julie.
"Selain mendapat tunjuk ajar Erma dan pelakon lain, saya turut menonton filem-filem Hindi untuk mendapatkan semangat Julie.
"Pengalaman beraksi di pentas teater juga akan saya aplikasikan dalam lakonan saya di kaca televisyen nanti," katanya lagi.
Selain Nadia, teater yang menampilkan Erma Fatima selaku tunjang utama ini turut membariskan Datin Seri Umie Aida, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan, Fathia Latiff dan Abam. Teater ini turut membawakan penampilan sulung Amy Search di pentas teater.
Selain itu, teater muzikal itu turut menampilkan seorang pelakon kacak yang diterbangkan khas dari Pakistan, Saim Ali yang membawa watak sebagai Rahul.
Teater Muzikal Mak Cun D'Walei akan dipentaskan sehingga 13 November depan. Dapatkan tiket teater ini pada harga RM36, RM76, RM86, RM106, RM156 dan RM256 menerusi laman web www.airasiaredtix.com.
Teks oleh: Kamaruddin Razal