Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

CEO GISB, Isteri Antara 19 Individu Ditahan - KPN

Awani
19/09/2024 08:04 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISB), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya adalah antara 19 individu yang ditahan dalam serbuan serentak di empat kediaman di Jalan Imbi, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pagi Khamis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, serbuan kira-kira pukul 5.40 pagi itu dilakukan Bahagian D8 (Operasi Khas) Bukit Aman, Pasukan Khas Siasatan Bersepadu (PKSB) dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

"Hasil pemeriksaan, polis menahan 19 individu termasuk tujuh wanita, berusia 25 hingga 65 tahun," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, seramai 11 orang daripada keseluruhan tangkapan itu adalah individu yang berada dalam senarai sasaran pihak polis.

Katanya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) (Pindaan) 2022.

Beliau berkata, polis akan membuat permohonan reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, pada pukul 3 petang ini.

Semalam, polis menahan lima lelaki disyaki mempunyai kaitan dengan GISB dan merampas dua kenderaan rekreasi (motorhome) yang mempunyai lambang syarikat itu dipercayai cuba melarikan diri di Bukit Kayu Hitam menghala ke Thailand.

Minggu lepas, JSJ Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.

Razarudin sebelum ini memaklumkan bahawa ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISB dalam Op Global itu mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISB.

Sumber - AWANI

#Ketua Polis Negara #KPN #GISB #GISBH #CEO GISBH #Isteri CEO GISBH