Dato’ AC Mizal, Nabila Huda, Mark Adam, Meerqeen, Atu Zero, Ajak Shiro dan Norreen Iman di antara 16 selebriti popular tanah air yang berani sahut cabaran menyertai ‘Ceria Xtra #DudukRumah.

Program berformat ‘family variety’ atau variasi famili ini akan menemui penonton pada setiap hari Jumaat, mulai hari ini, 10 September, jam 9.00 malam di Astro Ceria (saluran 611).

Ceria Xtra #DudukRumah yang bakal bersiaran sebanyak lapan epidod ini dihoskan oleh pelakon dan pengacara yang kian meningkat naik, Wafiy Ilhan.

Rancangan permainan ini merupakan kerjasama rumah produksi, Red Communications yang sebelum ini turut menerbitkan siri popular ‘Oh My English’ dan ‘SMK’.

Pengurus Saluran Astro Ceria, Cecilia Wong, berkata, Astro Ceria perlu berfikiran luar kotak demi memastikan penonton dapat terus menikmati sajian kandungan segar dan penuh variasi dari semasa ke semasa.

“Keadaan pandemik yang masih melanda negara mahupun dunia ini secara tidak langsung turut memberi tamparan hebat kepada kami, pemain industri kreatif tanah air.

“Kami sahut cabaran dan sekali lagi bergandingan dengan rumah produksi, Red Communications Sdn Bhd untuk menghasilkan sebuah lagi program baharu yang diyakini mampu menghiburkan hati adik-adik sekeluarga, di sebalik musim pandemik ini,” katanya.

Dalam setiap episod, dua selebriti popular akan diangkat sebagai Kapten dan mereka akan membentuk kumpulan masing-masing, bersaing secara maya dari kediaman masing-masing.

Setiap Kapten akan disertai dengan tiga orang pemain yang dibarisi oleh ahli keluarga masing-masing, kawan dan juga peminat.

Menariknya program ini, penonton di rumah turut terlibat merasai pengalaman bermain bersama selebriti kesayangan mereka.

Pengacara, Wafiy, akan memaparkan Kod QR di skrin televisyen ketika siaran Ceria Xtra #DudukRumah dan penonton hanya perlu mengimbas Kod QR tersebut untuk menyertai ‘Ceria Xtra After Party’.

Penonton juga berpeluang untuk bertemu serta bermain ‘game’ secara maya dengan barisan selebriti. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.astroceria.com.my.

Pendekatan unik ini menjadikan Ceria Xtra #DudukRumah sebagai program ‘game show’ variasi famili pertama di Malaysia yang memperlihatkan penglibatan langsung penonton dari rumah masing-masing, secara maya.

Di antara ‘game’ atau permainan yang akan dimainkan peserta adalah ‘Siapa Lagi Xtra’, ‘Lukis Sarkis’, ‘Keluarga Mithali’, ‘Bisikan Manja’, ‘Lagu Apa Ini’, ‘Emojikan Hidupmu’, ‘Hujung-Hujung Nyawa’, ‘Pape Roger’ dan banyak lagi.

Program berdurasi selama satu jam setiap episod ini diarahkan oleh Shamyl Othman manakala Lina Tan bertindak sebagai Penerbit Eksekutif.