Sambutan Tahun Baru Cina kali ini semakin suram apabila empat filem yang dijangka masuk pawagam telah ditangguhkan tayangannya kerana penularan wabak Coronavirus.

Dalam perkembangan terbaharu, dua pawagam utama di Malaysia, GSC Cinemas dan MBO Cinemas telah menangguhkan empat tayangan filem berbahasa Mandarin.

Empat filem yang dimaksudkan itu ialah Vanguard, The Rescue, Detective Chinatown 3 dan filem fantasi animasi, Jiang Zi Ya: Legend of Deification.

Menurut kedua-dua pawagam itu, tarikh baharu tayangan semula filem-filem itu akan diumumkan kelak.

Pelanggan yang telah menempah tiket untuk menyaksikan filem-filem terbabit boleh menghubungi semula pawagam berkenaan untuk pulangan semula wang.



Sehubungan penangguhan tayangan itu, kebanyakan peminat meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat menyaksikan kehebatan pelakon pujaan mereka di pawagam terutama Jackie Chan.

Jackie yang muncul menerusi filem Vanguard antara naskhah yang dinanti-nantikan pada tahun ini.

Bagaimanapun, filem-filem terbitan Hong Kong dan Hollywood masih diteruskan tayangan seperti biasa.

Sehingga kini, 830 kes Coronavirus dicatatkan melibatkan 25 kematian.