BERITA
Cerita Zara Qairina Dimasukkan Ke Mesin Basuh Hanya Spekulasi - Peguam
Peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, menegaskan bahawa dakwaan kononnya remaja itu dimasukkan ke dalam mesin basuh hanya spekulasi semata-mata.
Pasukan peguam terdiri daripada Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata, kenyataan tersebut dikeluarkan susulan penularan beberapa video dan gambar berkaitan kes kematian Zara Qairina.
“Video seorang wanita yang menceritakan tentang Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah satu spekulasi. Anak guam kami, iaitu ibu kepada Zara (Noraidah), tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada sesiapa.
“Kami memohon agar wanita berkenaan menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis bagi tujuan siasatan,” katanya pada Rabu.
Menurut mereka lagi, penyebaran gambar kronologi yang menggambarkan Zara Qairina hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) pada jam 8 pagi, 16 Julai lalu, juga adalah satu spekulasi.
“Maklumat yang membentuk kronologi itu bukan datang daripada anak guam kami,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video seorang wanita yang menceritakan kejadian menimpa Zara Qairina dan mendakwa bahawa pelajar itu dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Ulasan wanita tersebut menarik perhatian pelbagai pihak dan mengundang kemarahan warga maya berhubung kematian Zara Qairina yang dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli di sekolah.
Zara Qairina, 13, dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar sebelum disahkan meninggal dunia di HQEI.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video