Sepasang cermin mata disaluti emas milik Mahatma Gandhi berjaya dijual dengan harga £ 260,000 (RM1.4 juta), sekaligus mengejutkan pemiliknya yang tidak menyangka ia mempunyai nilai begitu tinggi.

Individu yang memiliki cermin mata itu meninggalkannya dalam sampul surat yang diserahkan kepada pelelong tempatan di Bristol, England, tiga minggu lalu.

"Kami menemui sampul itu dalam peti surat. Mengikut maklumat yang diperolehi, individu itu mendapat cermin mata berkenaan daripada bapa saudaranya," tulis agensi East Bristol Auctions di Instagram.

Bapa saudara individu berkenaan bekerja dengan syarikat petroleum Britain di Afrika Selatan, di mana Gandhi menghabiskan bertahun-tahun sebelum kembali ke India untuk melancarkan pergerakan memperjuangan kebebasan.

Gandhi diketahui sering memberikan barangan tidak digunakan kepada mereka yang memerlukan atau yang membantunya.

"Individu itu beritahu saya, jika tiada pembida, buang sahaja. Malah ketika dicadangkan harga asal 15,000 pound, dia sangat terkejut.

"Kami tumpang gembira kerana dia berjaya menjual cermin mata itu dengan harga yang sangat tinggi. Dia seorang lelaki yang sudah berusia dan mungkin melalui saat-saat sukar dalam tempoh beberapa bulan ini, harapnya wang hasil jualan dapat membantunya," kata jurucakap, Andy Stowe, kepada The Hindustan Times.

Identiti pembeli tidak didedahkan, namun cermin mata itu kini dikhabarkan menjadi milik seorang lelaki dari Amerika Syarikat.

Sumber: Awani