Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melakukan siasatan terhadap Al Jazeera International (M) Sdn. Bhd.

Ini berkaitan penerbitan dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang telah disiarkan melalui saluran media sosial.

Hasil daripada siasatan awal, FINAS mendapati syarikat berkenaan tidak mempunyai Lesen Pengeluaran Filem dan tiada permohonan Surat Perakuan Penggambaran bagi penggambaran dokumentari tersebut.

Dalam sebuah kenyataan media, FINAS akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia bertujuan untuk menjalankan siasatan terhadap Al Jazeera (M) International Sdn. Bhd. di bawah Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan 2013) kerana menjalankan aktiviti perfileman iaitu menjalankan aktiviti pengeluaran filem dokumentari tanpa lesen
yang sah dari FINAS.

Sebelum ini, dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ menjadi tular di kalangan warganet dan ia mencetuskan kontroversi.

BACA: Kenyataan Pemuda Bangladesh Ini Kepada Al-Jazeera, Guris Hati Rakyat Malaysia

Temu bual pihak Al Jazeera dengan seorang pemuda Bangladesh mencetus rasa kurang senang rakyat Malaysia selepas mendakwa dia tidak dilayan dengan baik ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.