Berita tentang pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub malam tadi mencuit duka dalam kalangan rakyat.

Beliau meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam tadi setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak pada usia 61 tahun.

Sepanjang hayatnya, beliau antara tokoh politik yang diingati selepas melancarkan inisiatif Menu Rahmah bagi membantu golongan susah dan miskin tegar untuk mengisi perut.

Inisiatif beliau mendapat sambutan positif dalam kalangan masyarakat, sehinggakan restoran makanan segera juga turut mengaplikasikan Menu Rahmah ke dalam menu jualan mereka pada harga murah.

Kehilangan beliau pasti dirasai semua kelompok masyarakat. Namun, pencapaiannya dalam karier pasti boleh memberikan inspirasi kita. Berikut merupakan fakta dan pencapaian Salahuddin sepanjang berkarier sebagai tokoh politik.

Berketurunan Melayu-Cina dan dilahirkan pada 1 Disember 1961 di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Pontian, Johor Salahuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Inggeris Serkat, Pontian sebelum menyambung pendidikan di peringkat menengah di Sekolah Menengah Inggeris Teluk Kerang, Pontian dan Sekolah Menengah Sri Perhentian, Pontian.

Beliau meneruskan pengajian ke peringkat tingkatan 6 di Sekolah Menengah Dato’ Penggawa Barat, Pontian sebelum mengikuti program Diploma Pentadbiran Perniagaan do Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda BSc. (Sains Pembangunan Manusia) di Universiti Putra Malaysia pada 1984.

Salahuddin menyertai parti politik PAS sejak 1999 dan dipilih oleh mereka untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Johor Benut pada pilihan raya umum 1999, tetapi kalah.

Beliau dipilih untuk bertanding kerusi parlimen persekutuan Kubang Kerian, Kelantan pada Pilihan Raya Umum 2004 dan menang.

Seterusnya, beliau telah dipilih semula pada Pilihan Raya Umum 2008 sementara untuk Pilihan Raya 2013, beliau kembali ke negeri asalnya Johor untuk bertanding di kerusi parlimen Pulai.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Salahuddin buat pertama kali bertanding di bawah AMANAH (Pakatan Harapan) dan memenangi kedua-dua kerusi parlimen persekutuan Pulai dan kerusi DUN Johor Simpang Jeram.
Terdahulu, allahyarham dikejarkan ke wad kecemasan HSB sekitar jam 10.15 malam Sabtu setelah mengalami mual dan muntah-muntah. Beliau disahkan mengalami pendarahan otak sebelum menjalani pembedahan pada Sabtu.

Salahuddin meninggalkan seorang balu, Datin Seri Fatimah Taha, dan enam anak.

BACA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub Meninggal Dunia​