HIBURAN

Che Ani Premium Jadi Cik Annie? Noraniza Idris Kecewa Produk Muruku Diciplak - "Nak Ikut Jejak Saya, Ikutlah Cara Yang Betul"

Amri Hassan 01/07/2025 | 00:25 MYT
Penyanyi dan usahawan terkenal, Noraniza Idris, meluahkan rasa kecewa apabila produk muruku viral keluarannya, Che Ani Premium, didakwa telah diciplak oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurut Noraniza, pembungkusan produk tiruan yang dipercayai dipasarkan secara runcit di kawasan kampung itu meniru hampir sepenuhnya identiti visual Che Ani Premium termasuk penggunaan warna, tipografi dan nama yang hampir serupa, iaitu Cik Annie.

“Saya berusaha membina jenama ini dengan penuh kasih dan komitmen. Bila ada yang sewenang-wenangnya meniru, ia bukan sekadar menciplak produk seolah-olah ia menciplak perjuangan saya.

“Kalau nak ikut jejak saya, ikutlah dengan cara yang betul, bukan ambil jalan pintas dengan meniru rupa dan nama produk kami. Rezeki itu luas, tapi kalau cari rezeki dengan mencuri hasil titik peluh orang lain, itu bukan cara yang berkat,” tegas Noraniza yang juga pengasas Che Ani Premium.
undefined
Isu ini mendapat perhatian meluas apabila satu video tular di TikTok memaparkan pengarah urusan Che Ani Premium, Afiq Haikal, membuat tinjauan ke sebuah kedai runcit yang dipercayai menjual produk tiruan tersebut.

“Sepatutnya tak boleh sama macam ni. Saya dapat panggilan daripada kawan mengatakan ada produk seakan-akan Che Ani Premium dijual dengan harga RM5 sepek,” jelas Afiq dalam video tersebut.

Namun begitu, pemilik kedai terbabit enggan memberikan kerjasama dan tidak mahu mendedahkan dari mana produk tersebut diperoleh.

“Saya ambil kat mana, abang tak payah tahulah. Itu hal saya. Abang tak nak beli, tak apa. Ini saya punya,” tegas peniaga itu.

Mengulas lanjut, Noraniza menjelaskan bahawa pihaknya kini memberi fokus kepada penambahbaikan produk dari segi bentuk dan rasa, namun memilih untuk kekal menggunakan pembungkusan sedia ada buat masa ini kerana masih berbaki 10,000 unit stok.

“Disebabkan produk kita diciplak, kami rancang untuk tukar bentuk muruku dan pembungkusan baharu. Tapi kos packaging baharu sangat tinggi, jadi kami habiskan stok lama dahulu.

“Walaupun bentuknya masih panjang-panjang dan jenis jejari, berat dan rasa tetap sama. Malah, kami akan pastikan rasa lebih sedap dari sebelumnya,” katanya.
undefined
Sempena ulang tahun kedua Che Ani Premium yang bakal disambut pada Julai ini, syarikat tersebut akan mengadakan promosi istimewa untuk para pelanggan setia.

Antaranya, pembelian Set Kotak Warisan akan menerima 1 pek percuma perisa kari, terhad kepada 100 pembeli terawal sahaja.

Selain itu, pihak Che Ani Premium juga sedang menghabiskan stok muruku bentuk bulat, dan akan beralih sepenuhnya kepada muruku bentuk panjang selepas ini. Sebagai tawaran khas, pelanggan boleh mendapatkan Mix Combo (3 pek) pada harga promosi RM18.
#Viral #Noraniza Idris #Ciplak #Che Ani Premium #muruku