Laman Utama
Che Mat Sebak Tengok Semangat Jibob - “Syukur, Pembedahan Pasang Tempurung Kepala Berjaya...”
Pelawak dan pelakon Che Mat akui terharu melihat semangat ditunjukkan sahabatnya Jibob untuk kembali sihat.
Che Mat ketika dihubungi Gempak berkata, dia bersyukur apabila isteri Jibob memberitahu pembedahan memasang kembali tempurung kepala sahabatnya itu berjaya.
“Tak terluah dengan kata-kata apabila mendapat khabar tentang kejayaan pembedahan tersebut.
Advertisement
“Saya ada bagitahu kepada isteri Jibob hendak pergi melawat tetapi tidak dibenarkan buat masa sekarang.
“Hari ini (Ahad) saya buat video call dan saya dapat bercakap dengan Jibob. Keadaan dia nampak sangat baik dan dia boleh bercakap dengan lancar, tidak seperti sebelum ini.
“Saya kagum dengan semangat juang Jibob. Dia seorang yang sangat kuat. Syukur kepada Allah SWT dan saya berharap agar Jibob terus kuat dan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya sebak.
Tambah Che Mat lagi, dia diberitahu oleh isteri Jibob keputusan penuh mengenai keadaan semasa pasangannya dalam kumpulan OnxOn si Maharaja Lawak Mega itu akan diketahui hari ini (Isnin).
“Saya doakan semuanya baik-baik sahaja. Keputusan penuh akan diketahui esok (hari ini). Kalau boleh saya nak pergi jumpa Jibob.
“Jibob ada ajak saya pergi makan di tempat yang kami pernah pergi sebelum ini. Bila dia sebut tentang itu, dah cukup buat saya gembira,” katanya.
Jibob, atau nama sebenarnya Hamizi Hashim terjatuh dalam bilik air di rumahnya akibat serangan angin ahmar pada 5 Mac lalu dan disahkan mengalami pendarahan dalam otak.
Pelawak tersebut kemudiannya menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di bahagian kepala menyebabkan tempurung kepalanya terpaksa dicabut.
Tempurung kepala yang disimpan itu kemudiannya dipasang semula pada Sabtu lalu di Hospital Kuala Lumpur.
Must-Watch Video