Hiburan

“Che Ta Bukan Gimik, Gimik Itu Berdosa” - Suhaimi Sulaiman

gempak
Ainun
06/02/2025
12:25 MYT
Sponsor Banner
“Che Ta Bukan Gimik, Gimik Itu Berdosa” - Suhaimi Sulaiman
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, menafikan dakwaan pemilihan Rozita Che Wan sebagai hos program Ramadan Cuit Cuit Che Ta musim kedua adalah sekadar gimik untuk menarik penonton.
Menurut Suhaimi, keputusan memilih Che Ta dibuat berdasarkan kelayakannya dalam mengendalikan program televisyen, bukan kerana kontroversi atau isu sensasi yang dikaitkan dengannya.
“Setiap selebriti yang kami pilih adalah mereka yang bertanggungjawab dan tidak bermasalah.
"Kalau pun mereka pernah berdepan isu tertentu, itu bukan masalah selagi mereka mampu mengatasinya dan menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.
“Kita semua pernah melakukan kesilapan, tetapi masyarakat akan menerima jika kita berusaha memperbaiki diri. Ada masanya kita tersilap langkah, namun penting untuk kita saling membantu menjadi lebih baik,” katanya kepada Gempak.
Suhaimi berkata demikian ketika menghadiri majlis sidang media Puasa Raya RTM yang berlangsung di Angkasapuri, Kuala Lumpur, pada Khamis.

RTM Tidak Gunakan Isu Sensasi Sebagai Gimik

Bagaimanapun, Suhaimi turut menegaskan pihaknya tidak akan mengambil kesempatan dengan menggunakan isu sensasi selebriti sebagai salah satu strategi untuk menarik perhatian penonton.
“Ini bukan gimik, kerana gimik adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
“Gimik itu berdosa. Kita tidak sepatutnya melakukan perkara yang tidak beretika hanya untuk mengejar populariti kerana akhirnya ia akan membawa kesan buruk kepada diri sendiri,” jelasnya.
Oleh itu, dia menyatakan RTM sentiasa menampilkan pengacara daripada pelbagai latar belakang, termasuk muka baharu serta personaliti berpengalaman, sekali gus membuktikan bahawa pemilihan hos tidak tertumpu kepada individu tertentu sahaja.

Kontroversi Hutang MARA

Sebelum ini, Rozita Che Wan, 51, menjadi perhatian apabila didakwa gagal melunaskan hutang hampir RM1 juta kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA). Bagaimanapun, pelaksanaan penghakiman terhadapnya ditangguhkan selepas beliau berjaya melunaskan RM550,000, iaitu sebahagian daripada jumlah penuh pinjaman tersebut.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024