Laman Utama
Che Ta Terkilan Tak Sempat Melawat Arwah Hamid Gurkha - “Dia Sangat Punctual, Tak Komplen, Datang Shooting Naik Motor”
Aktres jelita Rozita Che Wan meluahkan rasa terkilan apabila tidak dapat menziarahi arwah Hamid Gurkha semasa sakitnya mahupun ketika pengebumiannya pada malam Selasa.
Menurut Rozita atau lebih mesra dikenali sebagai Che Ta, dia pernah berlakon bersama arwah Pak Hamid dan sangat mengagumi pelakon komedi itu kerana sikapnya yang menepati masa.
“Saya agak terkilan sebab tak sempat menziarahi pak Hamid. Saya ada beritahu pada seorang rakan nak ajak pergi menziarahi pak Hamid sebab kami pernah shooting bersama. Dalam sehari membawa ke sehari, tak sempat melawat sebab sibuk.
Advertisement
“Saya tak sempat pegang phone pun harini, dapat tahu pak Hamid meninggal daripada seorang kenalan, agak terkilanlah tak sempat menziarahi,” ujarnya kepada Gempak.
Berkongsi memori berlakon bersama pelakon veteran itu, Che Ta menjadi anak kepada pak Hamid dalam sebuah naskah drama kira-kira 10 tahun lalu.
“Pak Hamid sangat punctual, pernah sekali kami berdua shooting di Gombak, arwah datang dari Klang, call time pukul 7 pagi, hanya saya dan dia sahaja yang dah sampai.
“Masa tu kru sorang pun tak sampai lagi. Arwah datang dengan motor tau. Dia langsung tak complaint apa-apa,” ceritanya lagi.
Che Ta ditemui pada majlis berinai bersama suami, aktor Zain Saidin bersempena menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang bakal menuju tempoh satu dekad pada tahun ini.
Malam berinai yang diadakan merupakan hadiah daripada seorang rakan, Anas Zahrin bersempena meraikan 12 tahun persahabatan mereka.
Hadir sama bagi acara merenjis pasangan mempelai adalah ibu Che Ta, Zabedah Saad serta Ruby Che Wan dan keluarga sebelah Zain, kakaknya Sasha Saidin serta anak-anak mereka.
Tidak hanya itu, antara selebriti Malaysia yang turut muncul meraikan pasangan Che Ta dan Zain adalah Wany Hasrita, Ifa Raziah dan ramai lagi.
Sekadar info, Che Ta dan Zain bernikah pada 11 Disember 2013 selepas berkenalan ketika membintangi drama Kiah Pekasam pada tahun 2009.
Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang bakal memasuki usia 9 tahun.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Che Ta turut memiliki dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulunya iaitu Ammar Effendy, 26, dan Aniq Ezzra, 24.
Allahyarham Hamid Gurkha, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sungai Jati jam 9.50 malam tadi selepas disahkan meninggal dunia jam 2.19 petang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain.
Must-Watch Video