Penyanyi, Andi Bernadee akui lebih berhati-hati setiap kali memasuki bilik penginapan kerana risau mempunyai kamera tersembunyi.

Menurut Andi, banyak rakaman video dan foto bogel selebriti tersebar di laman sosial membuatkan dirinya berasa bimbang, khuatir terperangkap dengan kejadian yang sama.

“Sudah pasti kejadian yang melibatkan rakan artis membuatkan saya risau, sekarang saya memang sangat berhati-hati.

“Kalau ada persembahan di luar, sudah pasti saya akan membuat pemeriksaan sebelum menginap di sesebuah tempat yang disediakan oleh penganjur.

“Perkara pertama yang saya akan lakukan ketika masuk ke dalam bilik adalah hidupkan Bluetooth terlebih dahulu.

“Kalau ada nama yang pelik-pelik, saya akan terus minta mereka tukarkan bilik tidak kira macam mana sekali pun.

“Bukan apa, saya takut sekiranya termasuk dalam perangkap yang sama. Selain itu, sebagai langkah berjaga-jaga, buat masa ini saya elakkan daripada berada berdekatan dengan sinki kerana beberapa kejadian yang berlaku semuanya berdekatan kawasan tersebut,” jelasnya kepada Gempak.

Dalam perkembangan terbaru, muzik video rasmi single terbarunya, Donde sudah meraih lebih 3 juta tontonan sejak dimuat naik ke laman YouTube pada 10 April lalu.