Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Gaya Hidup

Chef Ismail Tidak Tergugat Dengan Kafe Hipster

Ahmad Shah 14/09/2016 | 16:33 MYT
Chef Selebriti, Datuk Ismail mengakui tidak tergugat dengan kemunculan kafe hipster yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Walaupun ada yang berpendapat, kafe hipster mampu memberi saingan kepadanya, Chef Ismail berkata, dia berbangga dengan semangat anak-anak muda yang berani menyahut cabaran untuk terjun ke bidang kulinari.

“Saya tak rasa pun kafe-kafe hipster yang diusahakan oleh anak-anak muda memberi saingan kepada binses saya mahupun pengusaha lain.

“Saya kagum dengan mereka, ada juga yang datang berjumpa dengan saya meminta tip yang sesuai untuk menjalankan perniagaan makanan dan sebagainya.

“Cuma saya kurang berpuas hati apabila mereka mencipta menu sendiri yang saya anggap masih diperingkat 'hijau'.

"Saya harap semua pengusaha kafe hipster, boleh memperbanyakkan lagi menu baru untuk menarik perhatian pelanggan,” katanya.

Chef Ismail berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perlantikan Duta Santan Kitchen Kingdom baru-baru ini.

Dalam pada itu, Chef Ismail turut menjawab pertanyaan media tentang perniagaan francais jenama Rebung.

"Buat masa ini saya lebih selesa dengan cara bisnes yang diusahakan sekarang dan belum terfikir untuk perniagaan francais, walaupun sudah ada beberapa pihak yang berminat untuk bekerjasama tapi saya masih belum bersedia.

“Bagi diri saya, kualiti makanan itu perlu dikekalkan, ada beberapa risiko perlu diambil kira sekiranya saya memfrancaiskan jenama Rebung, seperti 'rasa'. Saya bimbang rasa masakan saya akan 'lari'.

“Jadi kepada mereka yang belum cuba menu di Rebung bolehlah datang terus ke cawangan baru kami di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur,” ujarnya.

Mengenai Santan Kitchen Kingdom, Chef Ismail dilantik sebagai duta selama 2 tahun.

Santan ini merupakan 100% keluaran bumiputera yang mengunakan kelapa sawit sebagai bahan utama.

#Suudu
;