Chef Wan Bermalam Lagi Di Wad Angkara Tak Tahan 'Bisa' Kayap

ZULHILMI JALIL
Mac 24, 2020 02:29 MYT
Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan memaklumkan bahawa dia kini ditahan di wad selepas tidak tahan dengan kesakitan yang dialami akibat penyakit kayap tempoh hari.
Menurut Chef Wan, 62, dia sukar menjalani kehidupan harian apabila mengalami sakit luar biasa berterusan pada bahagian kaki kanannya.
"Ditahan di wad semalam untuk mendapatkan suntikan steroid.
"Suntikan itu bagi mengurangkan kesakitan luar biasa yang saya alami 24 jam pada bahagian kaki kanan sejak mendapat kayap lebih tiga minggu lalu.
"Sangat stres dan meletihkan apabila kesakitan itu membuatkan anda terjaga malam dan siang ketika ingin berehat yang sepatutnya sudah pulih sekarang.
"Suntikan itu katanya dapat mengurangkan 50 peratus kesakitan yang saya alami," katanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata pengikut mendoakan agar dirinya kembali segera sembuh.
"Saya doakan anda kembali sembuh dan dapat bekerja seperti biasa," tulis salah seorang netizen.
Dalam pada itu, katanya dia dijangka dibenarkan keluar dari hospital hari ini sekiranya menunjukkan perkembangan positif dalam rawatannya.
Sebelum ini, pada bulan lalu, Chef Wan dilaporkan terpaksa ditahan di wad selepas disahkan mengalami kayap.
BACA: "Kesakitan Sepanjang Malam Buat Saya Tak Tahan" - Chef Wan Ditahan Di Wad Akibat Kayap
#Chef Wan #Cef Selebriti #Kayap