Cheryl Cole Dilantik Urus Harta Liam Payne Bernilai RM151 Juta
Bekas kekasih Liam Payne, Cheryl Cole dilantik untuk menguruskan harta peninggalan bekas anggota One Direction itu yang bernilai kira-kira RM151 juta (AS$32.2 juta) selepas penyanyi itu meninggal dunia tanpa meninggalkan wasiat, menurut dokumen mahkamah.
Justeru Cheryl hanya diberi kuasa terhad sehingga perintah am pentadbiran dikeluarkan dan tidak boleh mengagihkan dana buat masa ini.
Selepas tempoh itu, Cheryl dilaporkan akan menyerahkan kesemua harta tersebut kepada anak lelaki tunggal mereka iaitu Bear Grey Payne.
Payne meninggal dunia pada Oktober lalu pada usia 31 tahun selepas terjatuh dari balkoni tingkat tiga sebuah hotel di Argentina.
Bedah siasat mendapati penyanyi itu mengalami kecederaan trauma berganda dengan pendarahan dalaman dan luaran, selain laporan toksikologi mengesan kehadiran dadah dalam tubuhnya.
Insiden tersebut mendorong pihak berkuasa untuk melancarkan siasatan. Ketika kejadian, Payne sedang menjalin hubungan dengan pempengaruh Kate Cassidy yang meninggalkan Amerika Selatan beberapa hari sebelum tragedi itu.
Dalam kenyataan di Instagram pada Oktober, Cheryl, 41, menyeru orang ramai untuk menghormati privasi dan maruah Payne, selain mengecam laporan tabloid yang dianggap mengeksploitasi kematiannya.
Sumber: Sinar Harian