Berkat sambutan single pertamanya, Tolonglah yang dirilis pada tahun 2020 memberi keberanian buat Cik B untuk meneruskan karier nyanyiannya dengan lahir bersama single kedua.

Pemilik nama sebenar Nur Edlynn Zamilleen Muhamad Amin kini lahir dengan single keduanya yang diberi judul Doakan Cik B.

Single dengan konsep nyanyian bersadur rapping itu telah dirilis semalam.

Doakan Cik B berkisah tentang perasaan dirinya terhadap situasi yang melanda diri dan pemerhatian sekeliling.

Menurut ibunya Datuk Vida, kelahiran Doakan Cik B kali ini dilancarkan secara ‘serius’ tanpa gimik untuk menjadikannya viral. Malah dengan yakin dia mengatakan kekuatan lagu ini selain liriknya bergantung kepada suara Cik B.

“Kali ini kita tak jual viral. Kita jual suara Cik B, kita percaya dengan suara Cik B. Tak ada gimik-gimik juga,” kata Vida sewaktu ditemui di majlis Gempak Most Wanted 2022 (GMWA 2022), hujung minggu lalu.

Sementara itu meninjau ke laman sosial remaja yang menginjak usia 17 tahun tersebut menerima banyak komen positif terhadap lagu Doakan Cik B.

Menerusi klip video yang dipaparkan, Cik B antaranya dilihat dalam keadaan ‘dirantai’, dengan ada babak lain menunjukkan seperti seseorang sedang mengalami gangguan kesihatan mental atau gangguan perasaan dan perlu mengambil ubat.

“Sedihnya lagu Cik B!! Sumpah nangis dengar suara Cik B. Saya dapat rasa Cik B. Saya doakan Cik B,” tulis seorang peminat.