HIBURAN

Cik Epal Lebih Tenang Selepas Bergelar Ibu Tunggal - “Tak Ada Gangguan Lain Yang Nak Buat Kita Overthinking”

Mya Amri 05/08/2025 | 02:56 MYT
Usahawan dan personaliti media sosial, Cik Epal mengakui selepas melalui fasa perubahan dalam kehidupan peribadinya, dirinya kini lebih tenang dan stabil dari segi emosi.

Menurut Cik Epal, dia kini lebih banyak memberikan fokus kepada anak-anak selain sibuk dengan urusan perniagaan.

“Dari segi emosi saya rasa jauh lebih baik dan semakin tenang, sebab bila sudah ‘single’ ini saya lebih fokus pada diri dan anak-anak.

“Jadi tidak ada gangguan lain yang buat kita nak rasa ‘overthinking’ atau apa sahaja. Saya pilih untuk ikut arus kehidupan, apa saja yang datang, saya hadap dengan hati terbuka,” jelasnya.

Cik Epal berkata demikian ketika ditemui di sidang media dalam sebuah majlis anugerah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Mengulas mengenai hantaran Instagram yang dilihat semakin kurang aktif berbanding sebelum ini lebih lantang, Cik Epal berkata perubahan itu hadir seiring dengan kematangan dan fasa hidupnya sekarang.

“Saya ini jenis tidak kacau orang. Tapi kalau orang kacau saya, barulah saya bertindak.

“Kalau tak ada sesiapa yang usik, saya lebih selesa buat hal saya sendiri sahaja. Fokus saya sekarang hanya pada diri dan anak-anak,” ujarnya.

Terdahulu, Cik Epal dan usahawan piza wagyu, Jofliam mendirikan rumah tangga pada 1 Jun 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Han dan Yuki.

Rumah tangga mereka bagaimanapun bergolak selepas Jofliam didakwa curang dengan pembantu peribadi, Dewi ketika pergi bercuti di Jepun bersama pasukannya, Pizza Wagyu Jofliam.

Pasangan itu bagaimanapun bercerai tahun lalu selepas 10 tahun bersama.

#cerai #Ibu Tunggal #Cik Epal