Pada Oktober tahun lalu, bakat baru Cikgu Meera mencuri tumpuan netizen dengan single, Oh Sayangku.

Lagu ciptaan Eddie Hamid itu sehingga kini ditonton 594,587 kali menerusi YouTube.

Selepas mencipta nama menerusi aplikasi Smule sebelum menjadi artis rakaman di bawah pengurusan Jayy Production, rupanya perkembangan terkini Cikgu Meera dah nak bernikah.

"Insha Allah, majlis persandingan akan diadakan pada 22 Mac ini di Kampung Kubang Menerong, Kodiang Kedah," katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Bagi peminat lelaki yang gigit jari atau makan hati sebab tak berpeluang memenangi hati Cikgu Meera jangan kecewa sebab gadis berusia 26 tahun ini turut menjemput peminatnya ke majlis kendurinya itu nanti.

Cikgu Meera memberitahu, dia menerima jodoh dengan kawan lama ketika zaman sekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Pendang.

"Sama ada peminat masih menerima saya selepas ini (berkahwin), saya fikir kalau ada rezeki insha Allah saya mengharapkan kerjaya seni saya ini dapat pergi jauh," ujarnya.

Akuinya, ramai peminat mula mengenalinya selepas dia muncul di televisyen dan radio termasuk mengadakan persembahan pentas.

"Guru besar dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) juga okay apabila panggil saya membuat persembahan menyanyi dalam acara anjuran sekolah.

"Saya juga bersyukur dengan sambutan peminat terhadap single pertama dan berhasrat untuk muncul dengan lagu kedua selepas ini," katanya.

Cikgu Meera yang kini berkhidmat di sebuah sekolah rendah di Seksyen 6, Shah Alam Selangor mengatakan dia akan melalui kehidupan berjauhan dengan suami yang juga guru di Melaka.

"Kehidupan kini berjalan lancar walaupun selepas ini terpaksa berjauhan dengan bakal suami.

"Selepas berkahwin, saya akan kembali meneruskan aktiviti seni. Jika boleh saya mahu mendekati murid-murid dengan menyampaikan mesej positif," katanya yang berusaha membahagikan masa nyanyian tidak mengganggu masa kerja sebagai guru.

Foto: Instagram @cikgumeera

Teks oleh: Elrafaei Sapi