Filem komedi seram terbaharu, Cikgu vs Hantu menjadi taruhan pertama pengarah dan pelakon, Liyana Jasmay.

Menurut Liyana, Cikgu vs Hantu memperlihatkan keupayaan Liyana tampil dengan sisi berbeza dalam pengarahan berbanding sebelum ini yang lebih fokus terhadap genre romantik komedi.

“Kali ini saya ingin pertaruhkan kelainan dengan memberikan sentuhan berbeza dalam genre komedi seram.

“Bekerjasama dengan Datuk Afdlin Shauki, Khir Rahman, Che Puan Juliana Evans, Zahiril Adzim serta pelakon lain memberikan pengalaman menarik.

“Setelah menghasilkan filem ini, ia menyuntik semangat saya untuk menyahut lebih banyak cabaran dalam menghasilkan variasi filem,” ujarnya.

Liyana berkata demikian sewaktu sidang media Cikgu vs Hantu yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Isnin.

Istimewanya lagi, naskhah ini bukan sekadar mengetengahkan elemen komedi dan seram tetapi jalan ceritanya turut mengajak penonton mengimbau kembali kenangan kisah misteri di sekolah.

Filem terbitan Mermaid Studio ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Afdlin Shauki, Khir Rahman, Che Puan Juliana Evans, Zahiril Adzim, Shuk Sahar, Fathil Dani, Mohd Fadhli Masoot, Muhammad Muntazar Ghani dan penampilan istimewa, Syafiq Kyle.

Saksikan Cikgu vs Hantu di pawagam rumah anda, Astro First bermula 8 September 2022.

Untuk melanggan, sila ke saluran 480 dan boleh juga di strim di Astro Go atau On Demand.

Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Sinopsis:

Cikgu vs Hantu mengisahkan tentang permusuhan antara cikgu Daud (Afdlin Shauki) dan cikgu Samad (Khir Rahman) untuk merebut tittle menjadi cikgu terbaik.

Bagaimanapun persaingan itu secara tidak langsung telah merapatkan hubungan mereka tanpa sedar selepas kemunculan cikgu Syima (Che Puan Juliana Evans) dan Ismail (Shuk Sahar).

Kematian cikgu Syima dan Ismail di sekolah menjadi tanda tanya siapakah dalang yang membunuh mereka.