Selepas kejayaan Dendam Seorang Isteri, Astro Prima kini kembali dengan drama terbaharu berjudul Cinta Hilang Kata.

Drama terbitan Country & Universal Sdn. Bhd ini memaparkan kisah kehidupan seorang penulis terkenal yang menjadi malang akibat perasaan cemburu, dengki dengan perkahwinan dan kerjayanya.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, sebagai peneraju kandungan tempatan premium di Malaysia, pihaknya amat menitik beratkan kualiti penceritaan, arahan dan lakonan.

“Astro Prima memposisikan salurannya sebagai medium penceritaan masyarakat, terutamanya yang mengangkat karya-karya ciptaan wanita.

“Tidak kiralah mereka yang berada di belakang tabir, mengolah atau menulis serta menerajui sebagai watak utama.

“Inilah antara ciri-ciri yang sering membezakan saluran Astro Prima dengan yang lain.

“Kali ini kami mengangkat novel karya novelis kontemporari popular, Lily Haslina Nasir yang turut merupakan antara penulis versatil di dalam industri hiburan negara.

“Cinta Hilang Kata memberi pelbagai dimensi penceritaan. Dalam drama ini, kami menekankan penggunaan ilmu hitam untuk menghancurkan ahli-ahli keluarga demi melunaskan kecemburuan yang bersemat dalam hati.

“Walaupun agak berat dari segi penceritaannya, setiap yang diceritakan pasti membawa makna atau pengajaran yang berguna.

“Drama kali ini juga memaparkan kombinasi pelakon muda serta yang berpengalaman menerusi gandingan Sophia Albarakbah, Shahz Jaszle dan sudah semestinya, Iqram Dinzly serta Nellisa Nizam.

“Gandingan unik di bawah arahan pengarah berpengalaman, Kyoll Hamzah dengan tulisan Lily Haslina pasti akan mengujakan para peminat drama tempatan.

“Kami yakin Cinta Hilang Kata akan menyambung sukses slot Tiara di Astro Prima.

“Kami juga ingin memaklumkan bahawa Dendam Seorang Isteri berjaya meraih minat dan sokongan dariapda para penonton sehingga menjadi drama No.1 di saluran Astro Prima untuk tahun 2022 setakat ini,” ujarnya.

Cinta Hilang Kata akan ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 18 Julai 2022 secara eksklusif di slot Tiara melalui saluran Astro Prima (105).

Drama ini juga boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.

Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro.

Sinopsis:

Drama 40 episod ini mengisahkan kehidupan Nurul Masmin yang dikenali ramai ketika di univesiti sebagai seorang pengarang yang berbakat besar.

Dia sering disokong oleh teman lelakinya, Rain Akhtar. Namun, kehidupannya menjadi tunggang-langgang apabila dia mengahwini Amirul.

Perkahwinan Nurul Masmin sering dicabar apabila Sabirah – pesaingnya di universiti dan dunia penulisan yang terus menggoda Amirul demi mahu merosakkan rumah tangganya.

Dia juga sering dijampi ibu mertuanya sendiri kerana mahukan hartanya. Kehidupan Nurul Masmin yang dahulunya indah kini persis mimpi ngeri.