Laman Utama
Cinta Hilang Kata - Prolog | Bab 2
2 Amirul & Jah Gayah
Meresah jiwa hilang kata, Perasaan ini bukan biasa; Kisah silam penuh ceritera, Dendam lama menakung bisa
NURUL MASIH KECIL KETIKA ITU. Namun kecilnya bukan bererti segala-gala kenangan pahit itu mudah sirna dalam fikiran. Setiap jerkahan masih memberi tanda di hati. Setiap kerlingan masih meninggalkan parut di jiwa. Dia umpama kanak-kanak kecil yang lumpuh deria bahagia. Dia tidak tahu mahu mengadu pada siapa. Dia lebih banyak berdiam, memerhati, menyimpan dan membuat andai-andaian sendiri.
Tatkala itu dia sudah dapat membaca gerak dan tingkah Jah Gayah. Wanita yang mengasuh dirinya itu memang penuh lakonan. Di rumah teres sederhana besar itu dia mengenali wanita itu dan anaknya, Amirul. Memesrai persekitaran rumah dan halamannya hanya mengajar Nurul mengenali manusia-manusia lain. Memang ada insan yang jiwanya penuh lalang, semalu berakar umbi menjalar ke segenap saraf nadi.
Advertisement
“Ya Allah! Apasal budak ni? Melalak aje! Nanti aku lempang baru tahu! Hesy, diamlah! Memekak aje!”
“Mak, tangan Nurul terpegang cerek panaslah mak!”
“Hah???”
“Ni... mak tengok, kulit dia melepuhlah mak! Dia pegang cerek yang mak letak kat bawah tu.”
“Huh! Budak tak tau duduk diam ni! Nak aku cili-cilikan aje punggung dengan kaki tu! Berjalan aje! Dah melantak nasi, dah minum susu pun tak tau nak tidur.”
“Mak Jah, sakit... tangan sakit.” Anak kecil itu berkerut-kerut dahi menahan sakit. Dia menghulurkan tangan kanannya dengan harapan ibu pengasuh itu akan memberi kelegaan pada hujung jari-jarinya yang sudah merah dan menggelembung kulitnya.
“Padan muka kau! Degil! Aku kata diam, tak reti bahasa. Aku kata tidur, tak mau tidur. Hah, rasakan!”
“Mirul, pergi ambik minyak gamat!” Jah Gayah memberi arahan pada Amirul. Anak lelaki yang beza umur hanya tiga tahun daripada Nurul Masmin itu pantas menghulurkan sebotol minyak gamat.
“Mirul, tadi kenapa tak tolong tengokkan Nurul? Mak tengah sidai baju. Kalau apa-apa jadikan, susah.” Jah Gayah terus-terusan membebel.
“Mak Jah, Nurul nak susu...”
“Tadi dah minum sebotol, nak lagi?” jerkah ibu tunggal itu. Memang kalau ikutkan panas hati, dia mahu lempang kiri kanan mulut kecil yang kuat merengek itu. Apatah lagi apabila memandang wajah kecil itu yang seiras emaknya, Azmeena. Mak Jah memang tidak berkenan langsung emak Nurul Masmin. Dirinya bersetuju menjadi ibu pengasuh anak kecil itu tak lain tak bukan, semata-mata kerana Tuan Razali. Entah mengapa hatinya selalu berdebar-debar setiap kali berselisih dengan Tuan Razali sama ada di kedai runcit atau di kawasan perumahan itu.
“Nurul nak susu, Mak Jah... nak susu...” Botol susu yang sudah berkeladak dan bersisa susu basi, dihulurkan oleh anak kecil itu di hadapan Mak Jah.
“Hesy, budak ni! Aku hempaskan baru tahu! Tak reti bahasa agaknya. Bak sini!” Mak Jah menjerit menyebabkan Nurul terkejut. Anak kecil yang rambutnya bertocang dua itu segera menghulurkan botol susunya. Kemudian kaki kecil itu terkedek-kedek berlari menyorok di balik pintu bilik.
“Hah, duduk balik pintu! Lepas ni kuku pulak tercabut terkepit dek pintu! Nurul, sini!” Mak Jah bertempik garang. Susu dua sudu besar dibancuh dengan air sejuk biasa. Tidak dicuci pun botol susu yang kotor itu.
Digoncang susu sehingga larut. Kemudian dia membuka kembali penutup botol susu itu. Mak Jah mencapai sesuatu di dalam peti sejuknya. Ubat batuk. Dia memang menyimpan sebotol kecil ubat batuk khas untuk Nurul jikalau anak kecil itu degil tidak mahu tidur. Dituangkan satu sudu besar ubat batuk di dalam botol itu. Ditutup botol itu dan digoncang kuat-kuat. Biar larut. Biar sebati dengan susu.
“Nurul! Pekak ya?”
Anak kecil itu mengintai di balik pintu.
“Cepat! Kata nak susu tadi. Ambik ni! Cepat!” jerit Mak Jah tanpa mempedulikan anak kecil itu semakin mengerekot badan ketakutan.
“Nah... minum sampai habis!”
Nurul mencapai botol susunya dan terus berlari pantas ke bilik belakang rumah teres tiga bilik itu. Di bilik stor itulah dia menyembunyikan diri daripada segala ketakutan. Biar dia kecil, dia faham benar rutin Mak Jah.
Mak Jah akan siapkan dia kemas-kemas sebelum emak tiba untuk mengambilnya. Rambut disisir rapi dan diikat kemas, siap dilumur minyak zaitun. Pipinya dibedakkan. Mak Jah memang memastikan dia cukup wangi untuk dicium emak setiap petang.
Namun Nurul sering tertanya-tanya mengapa bila giliran papa menjemputnya apabila emak lewat pulang, Mak Jah berkelakuan aneh? Mak Jah akan pakai lawa-lawa dan mekap lebih daripada biasa. Kalau papa beritahu awal yang papa akan jemput, Mak Jah siap masak sedap-sedap. Mak Jah siap bungkuskan gulai untuk papa. Bibir Mak Jah akan bergincu merah, matanya berpantis dan bercelak hitam. Bukan lawa pun, tetapi menakutkan di mata Nurul. Macam mata burung jampuk dia memandang Mak Jah.
Pakaian Mak Jah mengalahkan waktu Hari Raya!
“Kenapa bibir Mak Jah merah sangat! Macam berdarah...”
“Kau diamlah! Pergi main kat sana!” Mak Jah menghalau Nurul yang mengintainya di balik pintu bilik.
Nurul memerhati dan terus mengamati. Kenapa Mak Jah pakai baju kebaya ketat tu? Ketat sungguh. Sampai rasa macam tak bernafas. Pelik sungguh!
Dan rasa aneh dan pelik itu benar-benar menguji rasa bingung Nurul. Cuma dia tidak tahu bagaimana mahu meluahkan rasa itu. Dia tidak tahu pada siapa dia harus bertanya.
Suatu petang dia terdengar suara Mak Jah macam merengek. Kemudian terdengar suara papa. Suara Mak Jah kemudian bertingkah dengan suara papa. Waktu itu Amirul sudah lesap ke padang untuk bermain bola.
“Jah, saya suami orang. Saya ada isteri, ada anak. Tak elok kalau Jah nak tersua-sua macam ni. Tak manis. Jah janda, tak elok kalau buat bukan-bukan. Yang buruknya nanti nama Jah jugak. Saya dengan Azmeena memang ikhlas nak Jah jaga Nurul Masmin. Anggaplah dia macam anak sendiri. Kita boleh jadi bersaudara. Kalau takat Jah susah duit, bila-bila saya boleh bagi Jah duit lebih. Tapi bukan macam ni, ya... Tak manis. Betulkan balik butang baju tu. Nampak dek orang lain, apa pulak nanti kata orang. Timbul fitnah.”
Biar masih kecil, namun kata-kata papa yang dicuri dengar di balik pintu bilik itu memang membuat Nurul berkerut dahi. Betulkan butang baju? Mak Jah kenapa? Itulah... pakai baju ketat sangat sampai butang pun boleh terbuka. Tadi Mak Jah kata pening kepala, tak sihat. Tu sebab papa ambil beg baju dan beg susu Nurul di ruang tamu. Tiba-tiba Mak Jah keluar pakai cantik-cantik. Mak Jah dah siap-siap suruh Nurul duduk dalam bilik. Peliklah Mak Jah. Kata sakit, kata nak demam, tapi pakai baju lawa-lawa. Hah, padan muka. Kan dah kena tegur dengan papa!
Sejak hari itu Nurul rasa semakin takut dengan Mak Jah. Perempuan itu semakin garang dan bengis. Kalau dihulurkan pinggan nasi pun bagai mahu dihempaskan ke meja. Dan susu Nurul semakin tidak sedap rasanya. Selalu benar Nurul mengadu sakit perut selepas minum susu. Sesekali dia termuntah di tandas. Dan setiap kali termuntah, Mak Jah akan menjerkahnya.
“Mengada-ngada! Selama ni tak sakit perut, sekarang ni aje kau lorat ye! Aku bubuh racun tikus baru kau tahu! Mampus kau nanti!” Mak Jah bertempik bengis. Nurul terkaku dan hanya teresak-esak menangis. Amirul yang sibuk dengan permainan kereta polis pemberian papa Nurul, langsung tidak peduli.
“Betullah... Nurul ni lecehlah! Sikit-sikit muntah... sikit-sikit sakit perut. Lepas tu tidur aje. Macam tidur mati! Pemalas!” Amirul mengiakan kata-kata Mak Jah. Nurul terkelip-kelip tidak mampu membalas. Mak Jah menjeling tajam ke arahnya. Dihulurkan lagi sebotol susu.
“Minum! Lepas tu tidur!” Tidak perlu tunggu sejam, sebaik sahaja habis sebotol susu itu, Nurul terus terlelap.
Mak Jah memandang susuk tubuh kecil itu dengan penuh rasa benci. Patutnya bila aku dah mengasuh, aku jadi suri untuk bapak engkau! Huh, benci! Hati hasad Jah Gayah penuh kesumat mengenangkan keinginannya mendampingi sekali gus merampas tempat Azmeena sebagai isteri Tuan Razali tidak pernah kesampaian. Betina tak guna tu tak layak dapat suami yang berduit! Kerja aje dua puluh empat jam. Anak campak kat aku. Beranak pun takat seketul! Masak pun jarang. Bini apa namanya tu!
Dendam, benci dan cemburu Jah Gayah bagai tidak pernah padam. Apatah lagi sejak saat dia ditegur secara lembut oleh Tuan Razali. Malunya diri bukan kepalang. Terasa bagai perempuan jalang murahan bila kucing parsi seperti Tuan Razali rupa-rupanya tidak sudi menjamah ikan yang disua-suakan.
Jagalah kau, Razali! Aku ganyang anak kau cukup-cukup. Tak dapat bini kau, tak dapat engkau, anak kau ni aku gulaikan nanti!
Must-Watch Video