Pelawak Ali (kumpulan Puteh) yang juga adik kepada Abam Bocey telah menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hatinya pada Sabtu lalu.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 27, dan Melati Fitri Abdullah, 26, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz.

Pihak pengantin perempuan telah menerima wang hantaran sebanyak RM10,000 berserta 11 dulang hantaran daripada pihak lelaki.

Ali ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia mengenali isterinya sejak di bangku sekolah, iaitu pada tahun 2003.

“Kami berkenalan ketika sama-sama belajar di Sekolah Menegah Kebangsaan Gombak Setia. Ketika itu isteri saya belajar di tingkatan satu.

“Di sekolah, saya selalu curi-curi tengok dia dan kebetulan dia pula berkawan dengan adik sepupu saya. Saya tak buang masa, terus mengurat dia,” katanya ketawa.

Tambah Ali, dia tidak menyangka hubungan cintanya dan Melati berakhir di jinjang pelamin kerana beberapa kali mereka berpisah.

“Lepas sekolah, hubungan kami putus kerana saya telah tamat tingkatan lima, sementara dia masih belajar. Tetapi kami jumpa balik dan hubungan kembali terjalin.

“Kalau nak diikutkan, ada la tujuh kali kami putus. Kali ke lapan bercinta, masing-masing semakin matang dan saya mula serius dan ajak dia kahwin dua tahun lepas.

“Alhamdulillah, segala yang kami rancang menjadi kenyataan,” katanya.

Sementara itu menurut Melati, sikap Ali yang manja dan tidak berputus asa membuatkan dia menerima kehadiran lelaki itu ke dalam hidupnya.

“Istimewanya Ali, dia seorang yang manja dan tidak putus asa. Kesungguhan Ali, buka hati saya untuk menerima lamaran dia,” katanya.

Mengulas tentang cahaya mata, pasangan ini memberitahu mereka tidak merancang sebaliknya menyerahkan semuanya kepada takdir.

“Kami tidak merancang. Semua itu kerja Allah. Andai kata kami diberikan rezeki dalam masa terdekat, Alhamdulillah,” ujar Ali.

Dalam perkembangan lain, Ali merancang untuk membawa isterinya berbulan madu selepas majlis persandingan sebelah lelaki pada hujung Ogos ini.