Cipta Sejarah, Chomel Filem Pertama Malaysia Papar Hubungan Keluarga Dengan Haiwan Kesayangan, Love!
Selepas melakar kejayaan demi kejayaan melalui filem terbitannya pada tahun ini seperti ‘18 Puasa Di Kampong Pisang’, ‘Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa’, ‘Penunggang Agama’, Astro Shaw tampil berani dengan mempersembahkan filem Chomel.
Buat julung kalinya di Malaysia, Chomel mengangkat hubungan persahabatan dan kasih sayang sebuah keluarga bersama seekor kucing.
Bakal menemui penonton di ‘Pawagam Rumah Anda’, Astro First bermula 24 Jun, filem Chomel pasti membuatkan penggemar kucing mahu pun tidak, akan ‘cair’ dengan gelagat dan aksi comel seekor kucing bernama Chomel.
Tambahan pula, filem itu mendapat sentuhan kreatif pengarah dan pemenang anugerah ‘Cerita Asal Terbaik’ filem Adiwiraku pada Anugerah Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) iaitu Jason Chong.
Sepanjang 90 minit, penonton bakal dibuai dengan emosi berbeza seperti tersenyum, ketawa, sedih, cemas dan geram menerusi babak-babaknya.
Bagi penceritaan idea asal dan skrip Chomel, ia telah dihasilkan sepenuhnya oleh pasukan penulis Astro ‘writers room’ sendiri.
Mengulas berkenaan filem Chomel, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Shaw komited dalam memperkenalkan sesuatu yang baru menerusi karya tempatan buat industri perfileman dan penonton Malaysia.
“Lebih-lebih lagi sekarang ini rakyat Malaysia banyak memenuhi masa dengan berada di rumah.
“Jadi kami yakin mereka menginginkan aktiviti salah satu daripadanya adalah menonton agar dapat berhibur, keluar daripada tekanan buat seketika ataupun meluangkan masa bersama insan tersayang.
Chomel mempertaruhkan gandingan pelakon hebat seperti Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 dan Pelakon Harapan Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 iatu Zahiril Adzim, Azizah Mahzan bersama pelakon muda Airiezara Jasmin, Yuyun Hikmah, Aniq Suhair.
Selain itu turut menampilkan penampilan istimewa, Aziz M. Osman, Adibah Noor, Douglas Lim, Gavin Yap dan penyampai radio di Era, Zahier Yusoff.
Menurut pengarah filem Chomel, Jason Chong berkata, dalam keadaan penuh pancaroba sekarang ini, dia percaya sebuah naskah seperti Chomel bukan sahaja mampu mengukir senyuman di bibir, tetapi akan menyentuh hati penonton.
Chomel, mengetengahkan kisah seekor kucing dan seorang kanak-kanak yang melalui rasa kehilangan.
“Saya harap filem ini akan menghiburkan anda semua di samping merapatkan lagi hubungan bersama insan tersayang.”
Untuk makluman, kisah Chomel bermula apabila Mimi yang kesunyian setelah pemergian ibunya dan keluarganya berpecah-belah.
Mimi tekad untuk menjadi kawan kepada ‘Diva Girlz’ untuk mengisi kesunyiannya, namun gagal. Keadaan berubah apabila Mimi berjumpa Chomel.
Mimi merasakan satu peluang atau jalan untuk dia dapat berkawan dengan Diva Girlz.
Keadaan menjadi rumit apabila ayah Mimi sering kali didesak oleh nenek Mimi (ibu mertua) menuntut hak penjagaan terhadap Mimi dan kakaknya, Nora, disebabkan nenek Mimi merasakan ayahnya tidak mampu menyara masa depan mereka.
Saksikan filem Chomel yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 24 Jun 2021.
Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand.
Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.