Cipta Sejarah! Datuk Fazley Hasilkan 3 Perisa Donat Unik! Paling Mega Puding Raja
17/09/2021 08:20 MYT
Cef selebriti terkenal Datuk Fazley Yaakob mencipta sejarah tersendiri apabila menghasilkan manisan donat dengan cita rasa Malaysia.
Tiga perisa baru itu termasuklah donat mawar bandung, batik kek coklat dan puding raja.
Menurut Fazley, dia mengambil masa empat hingga lima bulan untuk menghasilkan ketiga-tiga perisa itu kerana perlu memastikan citarasa tersebut sesuai dengan rakyat Malaysia.
“Ketiga-tiga perisa ini adalah kegemaran saya. Saya dah hasilkan eksperimen atau R&D 10 perisa sebenarnya tapi kami buat keputusan untuk pilih tiga resipi utama.
“Puding raja paling saya suka sebab saya membesar dengan menu ini. Puding raja juga antara resipi utama ketika saya belajar di Pahang dulu.
“Menu ini tak semua orang tahu tapi kalau orang Pahang tu wajiblah.
“Kebetulan Agong kita dari Pahang, kenapa tidak saya hasilkan sesuatu elemen raja. Saya nak perkenalkan masakan tempatan ke mata umum,” katanya.
Jelasnya, perisa kek batik dan mawar bandung juga antara yang ‘dekat’ di hatinya.
“Macam kek batik pula memang kegemaran saya, kalau nak tahu kek batik ni sudah terhasil beratus tahun dulu.
“Kek ini dipanggil ‘tea cake’ kalau dekat United Kingdom. Seawal umur 6 tahun saya dah buat kek batik, memang tak boleh hidup tanpa kek batik.
“Untuk mawar bandung, saya nak hasilkannya cantik dan secara jujurnya memang saya suka air bandung.
“Tapi saya suka elemen Perancis jadi saya hasilkan bunga kering boleh dimakan, so nampak cantik Instagram,” katanya.
Untuk makluman, tiga menu baru donat ini merupakan hasil kerjasama antara Krispy Kreme Doughnuts Malaysia dan Fazley.
Menu ini telah dilancarkan sejak 20 Ogos lalu dan dijangka berterusan selama tiga bulan hingga 19 November 2021.